Hanan Al-Hroub |
Kali ini pegawai kanan sebuah kementerian pula ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam sindiket menyelewengkan lebih RM100 juta dana kerajaan.
Dia disyaki menjadi dalang yang mengarahkan sebuah agensi kementerian membayar kepada kira-kira 14 syarikat kontraktor bagi menjayakan program-program yang tidak wujud.
Kalau betul begitu, tidak hairanlah jika dia hidup terlalu mewah hingga mampu membeli jam tangan dan beg tangan berjenama, pakaian serta barangan kemas bernilai RM600,000 dan bawa anak isteri ke luar negara dengan penerbangan kelas pertama.
Syabas SPRM. Teruskan usaha menghapuskan kegiatan penyamun-penyamun dan musang berbulu ayam yang mengkhianati amanah rakyat.
Bagi diri saya, lebih bermakna saya rakamkan kisah-kisah manusia berhati mulia daripada buang masa dengan cerita berjela-jela mengenai Robin Hood yang samun harta orang.
Kali ini saya ingin berkongsi kisah seorang wanita yang dipilih sebagai guru terbaik di dunia.
Hanan Al-Hroub, seorang guru di Samiha Khalil High School, Al-Bireh, Tebing Barat, di pinggir Ramallah, Palestin, yang hidup dalam suasana penuh ujian, tetapi berhati mulia, bukan seperti sesetengah yang sudah mewah, tetapi masih menyamun.
Pada 13 Mac lalu, Hanan, yang membesar dalam kem pelarian di Baitulaham, di mana dia sentiasa terdedah kepada kekejaman, diumumkan oleh Pope Francis sebagai pemenang Varkey Foundation Global Teacher Prize 2016.
Ia adalah di bawah naungan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, yang juga Pemerintah Dubai.
Menurut cerita Hanan, beliau memilih menjadi guru selepas anak-anaknya jadi trauma setelah menyaksikan kejadian tembakan semasa balik dari sekolah di mana suaminya sendiri cedera.
Slogan No to Violence dan pendekatannya melalui bukunya We Play and Learn telah mengurangkan tabiat ganas dalam kalangan murid yang terkesan dengan suasana kekejaman dan keganasan di sekeliling mereka.
“Kita (guru) mampu mengubah masa depan,” laung Hanan, sebaik diumumkan sebagai guru terbaik dunia di Dubai.
Rakyat Palestin membanjiri jalan di bandar Jericho, Tebing Barat, untuk menyambut kepulangan wirawati mereka, yang membawa bersamanya trofi dan wang kemenangan AS$1 juta (RM4.2 milion).
Kain rentang di jalan raya di Jericho mengulangi kata-kata keramat Hanan: “Pelajaran adalah hak manusia dan ia adalah hak anak-anak kita untuk menjalani kehidupan mereka sebagai kanak-kanak dalam suasana aman”.
Hanan juga memperjelaskan tentang cogan katanya yang menekankan bahawa kanak-kanak perlu belajar sambil bermain serta tidak didedahkan dengan keganasan.
“Satu-satunya senjata kita ialah ilmu dan pelajaran,” katanya.
Tabik untuk Hanan. Memang sahih beliau bukan sekadar seorang guru yang cekal, bijak, berani dan berketerampilan, malah beliau seorang insan berhati mulia; satu dalam berjuta.
Dalam dunia yang sering dicemari manusia jelik yang suka curi dan samun untuk memenuhi tembolok sendiri dan orang di keliling mereka, dalam dunia yang didedah dengan keganasan dan kekejaman, wanita ini memaksa jutaan manusia yang mengikuti kisahnya menitiskan air mata apabila beliau membuat ikrar akan gunakan wang kemenangannya bagi membantu pelajar-pelajar menjadi guru yang mampu meneruskan perjuangan menentang keganasan.
Pesanan Hanan: “Kita, sebagai guru mampu mewujudkan nilai-nilai dan moral dalam pemikiran anak-anak bagi menjamin dunia yang adil, dunia yang lebih cantik dan dunia yang lebih bebas”. Aamiin!
Sumber: Sinar Harian