Hudud: Bukan DAP Atau PAN Yang Tentukan - Abdul Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud menerusi pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak ditentukan oleh undi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan masa depan Pas hanya ditentukan oleh satu undi rakyat Malaysia yang masih menyokong perjuangan parti Islam itu.

“Dia (Amanah) satu undi sahaja, masih berjuta-juta undi lagi, dia tak setuju, banyak lagi yang boleh bersetuju,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, kelmarin.

Beliau mengulas gesaan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad pada Sabtu lepas yang menuntut Pas berhenti mempolitikkan hukum hudud dan memohon maaf kerana pendirian Pas yang mengelirukan.

Perkara itu timbul selepas Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendakwa Pas mencapai persetujuan bersama bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Pendirian terbaru itu timbul selepas Pas dan Ikatan menubuhkan blok pembangkang baharu pada Rabu lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Abdul Hadi juga menegaskan hubungan Pas dan PKR di Selangor masih kekal seperti biasa khsusnya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita masih dalam gabungan kita sendiri (dengan PKR). Terpulang kepada pihak lain untuk terima konsep kita atau tidak.

“(Pas) Selangor masih lagi dalam kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata lagi, Pas-Ikatan tidak akan bertanding dengan Pakatan Harapan dalam kawasan sama pada PRU14 akan datang.

Ini kerana tegasnya blok pembangkang baharu itu tiada kaitan kerjasama politik dengam DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.

“Kita bersendiri, takkan duduk dengan Pakatan Harapan, kita masih dalam gabungan kita sendiri, terpulang kepada mereka sama ada nak terima konsep kita atau tidak,” katanya.

Ditanya tentang Pas-Ikatan mampu memberi saingan kepada Pakatan Harapan, Abdul Hadi bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menilai perkara itu.

“Kita tunggu dan lihat, terlalu awal untuk saya jelaskan,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian