Soalan: Apakah hukum kita bermain daun terup tetapi tidak menggunakan wang pertaruhan, sebaliknya sesiapa yang kalah akan dijentik. Apakah itu dianggap sebagai judi?
* Amin, Batang Kali.
UKE: Para ulama sepakat bahawa setiap permainan yang dilakukan dengan perjudian adalah haram. Iaitu permainan di mana salah seorang akan mendapat keuntungan sementara seorang lagi akan mendapat kerugian kerana ia termasuk dalam perintah menjauhinya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Maidah: 90 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Dalam bab soalan anda, daun terup adalah alat yang dicipta khas untuk permainan judi. Ini bermakna ia menghampiri perbuatan bertaruh itu sendiri.
Apatah lagi jika ia membuang masa dan melalaikan daripada mengerjakan solat dan satu permainan yang sia-sia.
Mengelakkan daripada bermain terup walaupun tidak bertaruh adalah lebih baik dan dapat mengelakkan diri daripada berbuat perkara mungkar dan keji.
Sumber: Utusan