Ibu Bapa Perlu Utamakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Kanak-kanak Smart Reader gembira menerima biasiswa masing-masing pada Majlis Penyampaian Biasiswa Pendidikan Smart Reader 'One Child One Hope'semalam . - Foto BERNAMA
KANGAR – Ibu bapa perlu memberi keutamaan terhadap perkembangan pendidikan awal dan pembentukan tingkah laku kanak-kanak bagi merangsang peningkatan potensi anak dari segi intelek, fizikal, sosial dan rohani.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah aspek tersebut penting dan amat mempengaruhi corak perkembangan kanak-kanak di dalam bidang lain serta menentukan kecemerlangan masa depan mereka.

Misalnya, dari segi perkembangan komunikasi kanak-kanak, ia sangat mempengaruhi kemahiran sosial si anak yang kemudiannya mampu mempertingkat daya intelek serta bakat kreativiti semula jadi mereka, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian pada majlis persembahan biasiswa Smart Reader Kids ‘One Child One Hope’ kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YSTP) di Auditorium Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan baginda turut mengurniakan biasiswa Smart Reader Educational Kids kepada 25 kanak-kanak terpilih.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide Datuk Seri Dr Richard Ong, Ketua Pengarah Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn Bhd Datuk Dr K.H. Wang dan Setiausaha YSTP Datuk Johari Mohd Darus.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, konsep keibu-bapaan berkesan dapat mencorak personaliti dan tingkah laku kanak-kanak sejak kecil dan ia boleh diadaptasi menjadi insan cemerlang secara holistik.

“Negara memerlukan generasi yang sihat, dinamik, berfikiran positif, produktif serta mempunyai nilai hidup yang bermoral tinggi.

“Justeru ibu bapa serta para guru merupakan tunggak utama dalam mencorak anak-anak melalui acuan pendidikan yang berkualiti,” titah baginda yang juga Pengerusi YSTP.

Smart Reader Worldwide Sdn Bhd dan H.R. Bestari (Smart Reader Arau dan Kangar) bermurah hati memberi biasiswa untuk murid prasekolah daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan di Perlis melalui YSTP sejak 2007.

Setakat ini, sebanyak 181 kanak-kanak prasekolah memperoleh faedah menerusi program berkenaan. – BERNAMA