Penyanyi Farah Asyikin memberitahu ibu-bapanya adalah pasangan bahagia sehinggalah bapanya iaitu Allahyarham Datuk Zulkifli Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu selepas 37 tahun pasangan itu hidup bersama.
Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 36, berkata, ibunya, Fawziah Othman, 54, juga dapat melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri dengan sempurna apabila mampu menjaga Allahyarham terutamanya ketika arwah sakit iaitu tiga bulan sebelum meninggal dunia.
"Bapa saya berkahwin dengan ibu pada Februari 1979 dan mereka hidup bahagia sehingga akhir hayat dan ibu saya adalah insan yang sentiasa berada di sisi Allahyarham ketika beliau berada dalam keadaan sakit selama tiga bulan terakhirnya.
"Sepanjang perkahwinan mereka, saya tidak nampak ada unsur-unsur kononnya bapa saya tidak boleh melupakan bekas isterinya iaitu Seniwati Datuk Sarimah Ahmad seperti dilaporkan," ujarnya kepada mStar Online.
Gambar kenangan Fawziah Othman bersama suaminya, Allahyarham Datuk Zulkifli yang juga bapa kepada Farah Asyikin. |
Kata Farah, dakwaan itu benar-benar melukakan hati dia dan adik beradiknya yang lain terutama sekali ibunya yang memang mencintai arwah ayah sehingga ke akhir hayat.
Tambah Farah, ibunya merupakan perkahwinan keempat Allahyarham selepas berpisah dengan seniwati itu.
"Ibu saya terkilan dan bersedih kerana ada dakwaan tentang bapa saya masih mencintai bekas isteri pertamanya sedangkan tiada pun apa-apa tanda beliau masih ada perasaan kepada bekas isterinya itu sepanjang menjadi suami kepada ibu saya.
"Sebagai anak, saya dan adik beradik lain juga terasa hati dengan kenyataan itu. Selepas berpisah dengan isteri pertamanya, Allahyarham melalui dua perkahwinan lain dan ibu saya adalah perkahwinan keempatnya dan yang terakhir," ujar Farah.
Sehubungan itu Farah meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan arwah bapanya dengan cerita-cerita lain yang mungkin akan menggoreskan hati ibunya lagi.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi Sabtu lalu di Pusat Perubatan KPJ Damansara di sini pada usia 80 tahun akibat komplikasi penyakit tulang belakang.
Semasa Allahyarham berkahwin dengan Sarimah, beliau dikurniakan empat orang anak iaitu Norhayati Zulkifli, Farawaheeda Zulkifli, Mohd Jamil Zulkifli dan Mohd Shahray Zulkilfi.
Sumber: mStar