Individu Serang Anggota Polis Mati Ditembak Di Mergong

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Seorang individu yang melepaskan tembakan kepada anggota polis maut ditembak di Taman Rakyat, Mergong awal pagi semalam.‎

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihak polis kemudiannya menemui sebutir bom tangan, sepucuk pistol jenis Smith & Wesson dan pelbagai jenis dadah dalam kenderaan Honda Civic berwarna putih yang dipandunya.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi apabila anggota polis terserempak dengan kenderaan itu yang mencurigakan di persimpangan lampu isyarat berdekatan Bank Rakyat.

Pihak polis telah meminta lelaki itu memberhentikan kenderaannya tetapi dia terus memecut, katanya.

"Suspek turut melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis yang dibalas pihak polis. Kenderaan suspek kemudiannya terbabas dan merempuh sebatang pokok di hadapan sebuah masjid.

"Suspek kemudiannya didapati meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan," katanya ditempat kejadian.

Abd Jalil berkata pihaknya tidak menemui sebarang identiti pada suspek. - Bernama