ALOR SETAR - “Pada mulanya saya hanya dengar bunyi seperti orang berjalan di atas bumbung dan saya sangka pencuri cuba masuk ke rumah lalu bumbung. Bagaimanapun kira-kira 5 minit kemudian terdengar dentuman kuat dan beberapa bumbung rumah saya runtuh,” demikian kata seorang penduduk dari Taman Seri Kota, Langgar, dekat sini, Fauziah, 54.
Fauziah berkata, kejadian puting beliung itu berlaku jam 4.15 petang Isnin lalu dan sebelum kejadian keadaan kawasan itu agak tenang dan tidak ada angin.
Bagaimanapun, katanya, angin kuat datang secara tiba-tiba sehingga menyebabkan beberapa keping bumbung rumahnya runtuh.
“Saya terkejut dan kaku melihat bumbung rumah runtuh dan lampu gantung hiasan jatuh. Beberapa minit kemudian saya terdengar jiran sebelah rumah keluar dan melaungkan azan hinggalah angin kuat itu beransur berlalu dari situ.
“Bimbang dengan keadaan itu, saya segera hubungi suami supaya pulang melihat keadaan bumbung rumah,” katanya.
Fauziah turut bersyukur kerana selain bumbung, barangan lain yang ada di dalam rumahnya tidak mengalami kerosakan semasa kejadian puting beliung itu.
Seorang lagi penduduk, Zulkifli Ahmad, 36, berkata, penduduk di situ terkejut dengan kejadian itu kerana cuaca ketika itu baik dan tiba-tiba sahaja bumbung surau ranap dalam sekelip mata, bagaimanapun penduduk sudah membaiki kerosakan itu.
Katanya, selalunya angin itu datang dengan kuat dan menerbangkan bumbung rumah, tetapi kali ini bunyi seperti orang berjalan di atas bumbung.
“Beberapa minit selepas itu kami terdengar dentuman kuat di dalam surau dan mendapati bumbung dan syiling surau roboh. Mujur ketika itu tiada seorang pun dalam surau.
“Kejadian itu juga turut menerbangkan khemah di hadapan surau walaupun sudah diikat, tetapi angin kuat itu telah mengangkatnya setinggi lebih tiga meter dan menerbangkannya sejauh 20 meter dari tempat asal,” katanya.
Menurut Zulkifli, kejadian bumbung surau runtuh itu merupakan kali kedua berlaku dan kali ini paling teruk.
Bagaimanapun penduduk sangat berterima kasih kepada Umno Bahagian Pokok Sena kerana memberi sumbangan RM2,000 bagi membaiki semula bumbung surau itu.
Tambahnya, beberapa hari sebelum itu dua rumah turut mengalami kerosakan akibat ribut, tetapi kejadian ini paling teruk sehingga khemah yang diikat turut diterbangkan.
“Setiap tahun penduduk berjaga-jaga kerana kawasan ini laluan angin kuat dan sebab itu beberapa rumah sering rosak akibat ribut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian