Gambar Hiasan |
“Kenapa abang tinggalkan Idah? Abang, bangunlah,” katanya teresak-esak. Air matanya terus mengalir. Dia bagaikan hilang arah dan punca. Kematian suaminya sukar diterima.
Baginya Tuhan tidak adil apabila mengambil Akmal daripada hidupnya. Akmal adalah segala-galanya bagi Hamidah. Sebagai suri rumah yang bergantung harap sepenuhnya kepada suaminya, Hamidah bingung, apa yang harus dilakukan untuk menyara dua anaknya yang masih kecil.
Selama suaminya ada, Hamidah hanya bertanggungjawab menjaga kedua-dua anaknya, membersihkan rumah, memasak dan memastikan keadaan rumahnya teratur. Yang lain-lain diuruskan dan menjadi tanggungjawab suaminya.
Justeru apabila Akmal meninggal, Hamidah tidak tahu, di mana dia harus memulakan kehidupannya. Segala-galanya sukar baginya. Semua yang dilakukan serba tidak kena.
Untuk sementara waktu, mungkin adik-beradik bersedia untuk membantu. Tapi sampai bila? Apa yang harus dilakukan apabila mereka pulang ke rumah masing-masing. “Ya Allah, aku buntu,” keluh Hamidah. Dirinya tidak keruan.
PANDANGAN KAUNSELOR
Menyalahkan diri dan takdir, antara yang lumrah berlaku kepada mereka yang kehilangan insan tersayang. Sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak, namun ‘kejutan’ akibat kehilangan seseorang akan membuatkan mereka hilang arah buat seketika. Bahkan ada yang menghukum Tuhan sebagai tidak adil! Nauzubillah.
Tidak dinafikan kehilangan orang tersayang mendatangkan kesedihan yang mendalam. Apatah lagi jika pemergian itu berlaku sekelip mata atau secara tiba-tiba.
Yang pasti, melalui saat getir itu membuatkan seseorang sukar untuk melupakan kenangan hidup yang pernah dilalui bersama. Pun begitu orang yang berhadapan dengan saat sedih ini harus reda dan menerima setiap yang berlaku sebagai ujian Allah kepadanya.
Pasti ada kebaikan yang Allah kurniakan walaupun sukar untuk dilalui oleh manusia. Ini ditegaskan dalam firman-Nya:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” - Surah Al-Baqarah: 216.
Realitinya, fenomena manusia menjadi tidak rasional apabila berhadapan dengan peristiwa menyayat hati adalah berpunca daripada pemikiran dan perasaan mereka sendiri. Mereka terpengaruh dengan tanggapan bahawa apa yang berlaku bertentangan dengan yang diinginkan dalam kehidupan.
Justeru betulkan pemikiran dan perasaan. Dan ingatlah, orang yang sabar menghadapi kematian ialah orang yang sentiasa berada di dalam perlindungan Allah. Firman Allah:
Justeru betulkan pemikiran dan perasaan. Dan ingatlah, orang yang sabar menghadapi kematian ialah orang yang sentiasa berada di dalam perlindungan Allah. Firman Allah:
“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka dan rahmat-Nya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya,” (Surah Al-Baqarah : 156-157)
TIP KAUNSELOR
- Perasaan sedih, kecewa dan marah di atas takdir Allah merupakan fitrah manusia yang lemah kerana mereka tidak dapat menjangkau perancangan Allah yang sempurna. Kesanggupan manusia menerima ketentuan Allah merupakan kemuncak keimanan terhadap-Nya.
- Tanggapan bahawa kematian adalah ketetapan Allah untuk semua makhluk yang hidup akan membuatkan manusia lebih reda apabila kehilangan insan tersayang. Menangis adalah fitrah kehidupan hatta Rasulullah SAW sendiri turut menangis semasa kematian isterinya Sayidatina Khadijah. Namun perlulah menjaga adab-adab dan tidak bersikap seperti kaum jahiliah yang meraung-raung dan menarik rambut atau baju di hadapan jenazah. Hal ini sama sekali dilarang di dalam Islam.
- Jangan fikirkan kesusahan yang bakal ditempuhi sebaliknya fikirkan bagaimanakah caranya untuk meneruskan kehidupan setelah pemergian insan tersayang. Allah menjanjikan rezeki untuk setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Kita hanya perlu berusaha, berikhtiar dan bertawakal.
- Tunaikan kewajipan menyelesaikan segala hutang piutang si mati sebelum harta tersebut difaraidkan Tanggungjawab waris juga adalah menyempurnakan ibadah si mati yang tidak dapat ditunaikan semasa hidup sedangkan si mati berkemampuan seperti menunaikan haji, menggantikan ibadah puasa yang tinggal serta apa juga hutang si mati kepada pihak lain yang masih belum dilunaskan.
- Tunaikan hasrat yang pernah dikongsi oleh arwah. Jika kita mempunyai impian bersama untuk sesuatu perkara, jangan jadikan kematian pasangan kita sebagai alasan untuk kita menguburkan impian tersebut. Insya-Allah, rohnya akan turut gembira bila impiannya ditunaikan oleh keluarga.
- Di saat kita dibelenggu perasaan berburuk sangka terhadap Allah elakkan diri daripada duduk berseorangan. Banyakkan mengingati Allah kerana ketika itu syaitan akan mengambil kesempatan untuk menyesatkan fikiran dan perasaan.
- Jadilah pihak yang memahami situasi perasaan orang yang dalam kehilangan. Beri sokongan dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, material, moral. Orang yang sedang bersedih amat memerlukan seseorang untuk meluahkan rintihan perasaannya, sekali gus menjadi terapi terbaik untuknya bersikap tenang dan mengurangkan kesedihan yang dialami.
Sumber: Utusan