BARU-BARU ini beberapa orang pengguna Facebook telah berkongsi dengan saya video ceramah seorang ustaz yang kini menjadi viral di media-media sosial ekoran tutur katanya yang tidak beradab ketika menyampaikan kuliah.
Dalam petikan video berdurasi satu minit lima saat itu, ustaz tersebut dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata kesat seperti bodoh dan bahlul kepada polis trafik apabila mendakwa pasukan itu mengadakan sekatan jalan raya dan perangkap laju pada waktu solat Jumaat.
Malah pada satu peringkat dia secara melulu menuduh polis trafik tidak solat Jumaat kerana melakukan sekatan jalan raya serta membuat operasi perangkap laju pada waktu tersebut.
Lebih malang lagi, ahli keluarga polis trafik turut dilibatkan apabila mendakwa gaji yang diperoleh pada hari berkenaan haram dan itu yang menyebabkan isteri dan anak-anak mereka gagal menjadi orang yang baik.
Sejauh mana kebenaran dan asas dakwaan ustaz ini sukar untuk saya pastikan tetapi saya berpandangan penceramah agama tersebut gagal menunjukkan satu contoh akhlak yang baik kerana bentuk tegurannya begitu kasar dan langsung tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Lebih malang lagi jika perbuatan ustaz tersebut mengguris pihak yang berkenaan lebih-lebih lagi sekiranya dakwaan tersebut tidak berasas. Kita bimbang sekiranya dakwaan itu tidak benar pasti akan menimbulkan fitnah. Bukankah fitnah itu satu dosa besar dalam Islam?
Tidak salah untuk menegur tetapi hendaklah dilakukan secara lembut dan berhemah. Rasulullah SAW pernah menunjukkan cara menegur yang baik seperti yang dipaparkan melalui hadis dan sirah baginda. Cara menegur Rasulullah begitu lembut dan amat menyentuh perasaan.
Cara teguran Rasulullah langsung tidak menjatuhkan air muka dan maruah para sahabat. Oleh itu, bukankah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sewajarnya menjadikan segala perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda sebagai ikutan? Kita bukan sahaja mengikut cara Rasulullah beribadat serta berpakaian tetapi cara baginda mengeluarkan kata-kata juga wajib diteladani.
Pernah ada seorang kenalan yang dipanggil pak cik mengadu kepada saya tentang perlakuan seorang ustaz yang menyindir dirinya di khalayak kerana terlalu sibuk menyiapkan makanan ketika kuliah diadakan.
Pak cik ini seorang yang gemar bergurau tetapi ketika dia bercerita kepada saya tentang kejadian itu jelas memperlihatkan kesedihannya yang begitu mendalam kerana merasakan dirinya seolah-olah dimalukan di hadapan orang ramai.
Katanya kepada saya, dia tidak kisah ditegur tetapi bukannya di tengah khalayak. Ustaz berkenaan boleh membuat teguran melalui jawatankuasa surau atau terus bertemu dengannya. Saya faham perasaan pak cik ini. Sebagai orang tua dia tidak sepatutnya ditegur sebegitu tetapi hendaklah dilakukan secara bijaksana dan kasih sayang.
Perkara ini mungkin berlaku disebabkan segelintir ustaz kita ini mengabaikan soal akhlak terutama ketika hendak membuat teguran. Kita tidak nafikan ilmu yang mereka miliki cukup tinggi dan cukup hebat tetapi mereka gagal dalam soal penjagaan akhlak.
Sungguhpun begitu secara umumnya tidak semua ustaz atau penceramah agama yang sebegini. Sebahagian besar berpegang kepada nilai akhlak yang tinggi dalam menjalankan tugas menyampaikan ilmu.
Sebagai rujukan cuba kita perhatikan ceramah yang disampaikan oleh pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias. Pendekatan yang digunakan sangat berhemah. Beliau bijak menyusun kata-kata dan ada kalanya ustaz Kazim berseloroh bagi menceriakan lagi mereka yang hadir. Sebab itu ustaz Kazim amat disayangi oleh semua orang.
Lihat juga pendekatan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik yang menggunakan kaedah hikmah dalam usaha menarik lebih ramai lagi orang bukan Islam memeluk Islam. Cara beliau mengeluarkan kata-kata jelas menunjukkan keluhuran peribadi yang cukup tinggi serta akhlak yang cukup mulia.
Dengan akhlaknya yang begitu tinggi serta kehebatannya dalam bidang perbandingan agama, beliau berjaya mengislamkan begitu ramai orang dalam menjalankan misi dakwahnya di seluruh dunia.
Sumber: Utusan