#Islam: "Sebaik-Baik Jin Adalah Sejahat-Jahat Manusia.."?

Gambar Hiasan
“SEBAIK-BAIK jin adalah sejahat manusia”, tanggapan ini yang lazimnya tersebar dalam kalangan masyarakat Melayu hingga menjadi asas kepada cerita-cerita seram yang diterbitkan. Persoalannya, adakah ia benar dan disandarkan kepada al-Quran dan hadis.

Alam jin merupakan benda ghaib, maka pencerahan mengenainya perlulah disandarkan kepada hujah-hujah yang terkandung daripada kedua-dua sumber rujukan utama agama Islam itu. 

Justeru, elakkan daripada membicarakan soal perkara ghaib hanya bersandarkan kepada asas rapuh, tidak berasas yang diselang-selikan dengan fakta karut dan khurafat.


Menyentuh mengenai perkara ini, penulis buku, Ayat-Ayat Syaitan, Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz menegaskan bahawa kenyataan sebaik-sebaik jin adalah sejahat manusia amat tidak tepat dan ia secara tidak langsung menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran.
“Mereka adalah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama serta akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36])".
Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri dan takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

“Sekiranya kenyataan ‘sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia’ ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia. 

"Sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik,” katanya yang juga pensyarah di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tambah Abdullah Bukhari, generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka. Firman Allah:
“Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku (perintah-perintah-Ku), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?),” - al-An’am [6:130].
Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya daripada golongan jin yang begitu sensitif terhadap al-Quran.
“Rasulullah SAW keluar membaca Surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal hingga akhir surah. Mereka hanya berdiam. Baginda lalu bersabda: Aku pernah membacanya (Surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca, “Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan - wahai manusia dan jin”, mereka akan berkata: Tiada satu pun antara nikmat-Mu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagi-Mu sahajalah segala pujian,” - Sunan Tirmizi dan Tafsir Ibn Kathir.

Ayat itu berulang sebanyak 31 kali dalam Surah al-Rahman.

Sumber: Utusan