Islam Tidak Pernah Ajar Umatnya Jadi Melampau, Ekstrem

NEGARA pernah digemparkan dengan pembunuhan seorang rakyat Malaysia yang tidak bersalah di selatan Filipina, manakala hampir ribuan orang awam di seluruh dunia terkorban terutamanya di negara Timur Tengah berikutan serangan nekad yang dilancarkan.

Tidak dipastikan dengan jelas dalang di sebalik kejadian, namun kumpulan yang bertopengkan imej Islam itu bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan menganggap nyawa orang lain tiada nilai semata-mata kerana ingin mencapai matlamat mereka.

Apa yang jelas, masalah ekstremis yang kian melebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia itu dilihat tidak mampu ditumpaskan dengan kekuatan fizikal, justeru melakukan sekatan ideologi yang diperjuangkan oleh pengganas itu merupakan langkah yang boleh diambil bagi mengawal penyebarannya.

Tidak terkecuali, umat Islam termasuk rakyat di negara ini juga dilaporkan telah terpengaruh dengan doktrin yang dibawakan oleh golongan tersebut dengan berselindung di sebalik kalimah jihad selain dijanjikan syahid.

Hakikatnya, Islam sama sekali tidak menggalakkan perkara berunsur kejahatan, apatah lagi sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dengan cara yang salah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” - (an-Nisa’ ayat 93)
Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan tindakan membunuh orang lain tanpa sebarang kesalahan dengan sengaja adalah dosa besar. Ini kerana Islam sangat menitikberatkan nilai nyawa supaya dipelihara dan dilindungi.

Firman Allah SWT itu juga sekali gus menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mendakwa Islam adalah agama keganasan.

ISLAM BAWA KEAMANAN

Tidak perlu menonjolkan dengan cara ekstrem, umat Islam yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam akan memancarkan kehebatan umat Islam itu dengan sendirinya, malah masyarakat seluruh dunia akan dapat menyaksikan sifat keamanan dan kasih sayang agama Islam.


Dalam menyelesaikan konflik keganasan, Islam menyediakan penyelesaian kepada segala aspek dan permasalahan yang membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia menerusi konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.

Justeru, fahaman dan tindakan ekstremis ini perlu segera dibendung bagi mengelak pengikutnya pergi terlalu jauh sehingga hilang rasa simpati serta gagal memandu kebijaksanaan akalnya dalam memutuskan mana yang baik atau sebaliknya.

Selain pihak berkuasa, penglibatan semua pihak juga diperlukan dalam membendung penularan golongan ekstremis. Masyarakat diingatkan, tidak melindungi golongan ini daripada tindakan undang-undang kerana boleh didakwa atas kesalahan bersubahat.

Ibu bapa juga boleh memastikan langkah proaktif diambil dalam melindungi anak-anak daripada terpengaruh dengan ideologi yang menyesatkan ini.

Manakala golongan belia lelaki dan perempuan pula disarankan untuk sentiasa mematuhi pedoman agama dan bersikap anti-radikal terhadap golongan yang cuba menyebarkan ideologi mereka, terutamanya menerusi rangkaian media sosial.

Slogan dan janji manis yang ditawarkan oleh rangkaian organisasi pengganas perlu dielakkan agar tidak terpengaruh dengan doktrin yang cuba disebarkan.

Sumber: Utusan