Istana Seri Menanti, Lambang Senibina Islam Melayu

SENIBINA bangunan Istana Seri Menanti yang berlatarkan kehijauan alam semula jadi diperbuat daripada kayu yang tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi menggunakan pasak kayu.
ISTANA atau dalam bahasa Arab, ‘Qasr‘ merupakan antara kategori seni Islam yang menjadi lambang pemerintah Islam di sesebuah wilayah. Alam Melayu merupakan antara kawasan pemerintahan Islam di bawah Kesultanan Melayu.

Seperti pemerintahan dinasti Islam lain yang berada di Turki, Afrika, Iran, Samarkand dan India, istana memainkan peranan penting sebagai pusat pemerintahan dan lambang kekuasaan.

Di Nusantara atau dikenali sebagai Alam Melayu, pemerintahan Islamnya mempunyai seni bina istana yang tersendiri. Kebanyakan istana pemerintah di Alam Melayu diperbuat daripada kayu keras berkualiti tinggi berlainan dengan bahan yang digunakan oleh kebanyakan istana wilayah Islam lain.

Alam Melayu yang terkenal dengan kawasan hutan hujan tropika memiliki pelbagai jenis kayu keras berkualiti tinggi seperti cengal, merbau, belian dan jati. Hanya kayu berkualiti tinggi digunakan sebagai bahan binaan sesebuah istana sesuai dengan peranannya sebagai lambang kerajaan.

Semenanjung Tanah Melayu mempunyai sembilan buah negeri yang berada di bawah pemerintahan beraja pada hari ini. Namun begitu hanya beberapa buah negeri sahaja yang masih mempunyai istana lama diperbuat daripada kayu.

Antaranya ialah Istana Seri Menanti yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Selain Istana Seri Menanti, terdapat sebuah lagi istana kayu di Negeri Sembilan iaitu Istana Hinggap Ampang Tinggi.

Istana Seri Menanti merupakan istana kayu yang mula dibina pada tahun 1902 dan siap dibina pada tahun 1908 selepas bangunan asalnya musnah dalam peperangan dengan British pada tahun 1875.


Istana ini digunakan sebagai pusat pemerintahan beraja Negeri Sembilan di bawah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah yang memerintah dari tahun 1888 sehingga tahun 1933.

Baginda merupakan pemerintah ketujuh Negeri Sembilan. Rekaan seni bina istana ini diilhamkan oleh dua orang tukang kayu tempatan yang mahir dan pakar dalam seni bina kayu tempatan iaitu Encik Kahar dan Encik Taib.

Unik dan istimewa

Antara ciri fizikal Istana Seri Menanti yang unik, ia merupakan istana kayu paling tinggi di Semenanjung, tidak menggunakan paku dan mempunyai empat batang tiang seri berketinggian 20 meter. Sebagai pusat pemerintahan negeri, istana ini direka dengan teliti supaya ia mampu berfungsi sebagai nadi pentadbiran negeri dan tempat bersemayam Yang Dipertuan Besar serta kaum kerabat baginda.

Ia mempunyai empat tingkat yang mempunyai fungsi tersendiri mengikut falsafah adat Minangkabau “adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah, syarak mengata, adat memakai”.

Tingkat pertama merupakan pusat pemerintahan Yang Dipertuan Besar yang dilengkapi dengan singgahsana dan balai menghadap. Tingkat kedua adalah ruang keluarga diraja termasuk tempat bersemayam untuk kerabat diraja. Tingkat ketiga dikhaskan untuk bilik beradu Yang Dipertuan Besar dan seterusnya tingkat keempat ialah ruang khas baginda beribadah dan menelaah.

Tingkat keempat Istana Seri Menanti
Tingkat keempat merupakan bahagian bangunan yang paling tinggi dan ia juga dikatakan sebagai tempat Yang Dipertuan Besar meninjau kawasan pemerintahan baginda di sekitar istana.

Istana kayu pemerintah Islam di Alam Melayu mempunyai keindahan dan keunikan yang setara dengan seni bina istana dari wilayah Islam yang lain. Ia adalah sumbangan Kesultanan Melayu dalam memperkayakan koleksi rekaan senibina Islam. Kenali dan kagumilah warisan seni Islam tempatan.

Sumber: Utusan