Isu Lumur Makanan Di Muka Murid Autisme, "Cikgu Det" Bersuara

ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru kepada warga pendidik supaya sentiasa mengamalkan sikap profesional dalam melayani kerenah murid, khususnya bagi golongan murid "istimewa".

Beliau menyatakan kekesalan tentang laporan media yang menyiarkan aduan seorang ibu yang mendakwa seorang guru bertindak melumurkan makanan di muka anaknya hanya kerana lambat menghabiskan makanan yang sedang dijamah.

"Saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersikap professional dalam menghadapi karenah para murid terutamanya murid istimewa / keperluan khas.

"Kejadian ini amat dikesali," tulis Mahdzir yang turut mesra disapa dengan panggilan "Cikgu Det" di laman Facebook rasminya, hari ini.

Difahamkan insiden berkenaan berlaku di Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, baru-baru ini.


Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sedang menyiasat tentang insiden berkenaan dengan teliti dan bakal mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru terbabit sekiranya terbukti bersalah berhubung kejadian itu.

"Saya dimaklumkan pihak JPNS sedang mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap guru tersebut," jelasnya tentang peranan dan tindakan jabatan pendidikan negeri itu.

Warga netizen semalam viral memperkatakan tentang aduan ibu mangsa,  Jeffima Paloma, yang mengadu di media tentang insiden yang menimpa anaknya yang merupakan seorang kanak-kanak autisme.

Sumber: Facebook Jeffima Paloma
Jeffima dalam luahannya di Facebook turut menyatakan rasa kesal dengan sikap guru berkenaan yang dikatakan enggan mengaku ketelanjuran sikapnya dan difahamkan telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

"Dia tidak mahu mengaku sedangkan ramai pelajar yang menyaksi kejadian itu. Budak-budak semua takut pada cikgu itu. Mereka kata cikgu itu garang gila,” kata Jeffima. -Kedahnews.com