“Jika Tak Ganggu Waktu Solat Di Masjid, Saya Setuju” - Noorkumalasari

Noorkumalasari
Selepas memutuskan untuk berhijrah, umum mengetahui pelakon dan penyanyi terkenal era 90-an Noorkumalasari telah mengambil keputusan untuk tidak lagi berkecimpung dalam dunia hiburan.

Bagaimanapun, baru-baru ini sebuah ruangan gosip akhabar melaporkan pelakon yang pernah popular menerusi filem Adik Manja dan Mira Edora ini bakal kembali berlakon dalam sebuah drama mengenai kisah ibu bapanya iaitu Datuk S Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum.

Mengulas hal itu, Noorkumalasari mengaku ada menerima tawaran tersebut namun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Benar ada tawaran seperti dilaporkan tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa pengesahan atau perbincangan mengenai perkara itu.

“Jadi tiada sebarang keputusan yang dibuat buat masa sekarang berhubung sama ada saya akan berlakon atau pun tidak,” katanya yang dipetik dari sebuah portal berita.

Pada masa yang sama, Noorkumalasari memberitahu dia terbuka untuk kembali berlakon sekiranya jadual penggambaran tidak menggangu waktu solatnya di masjid.

“Jika tawaran berkenaan menarik dan ia tidak menggangu waktu solat saya di masjid selain tidak memerlukan saya membuka hijab dan melanggar ajaran Islam yang lain, Insya-Allah saya terima,” katanya. –Kedahnews.com