JPJ Kedah Tahan 6 Lelaki Disyaki Tonto Di Kuala Ketil


ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menahan enam lelaki disyaki tonto dalam Ops Tonto dan Ops Lebih Muatan yang dilaksanakan secara serentak berhampiran Stesen Penguatkuasa Kuala Ketil, Baling kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ negeri, Shahrul Azhar Mat Dali berkata lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 30-an telah ditahan di sebuah pondok yang didirikan secara haram berhampiran kawasan itu.

Mereka dipercayai bertindak sebagai tonto yang menyalurkan maklumat mengenai operasi yang dijalankan oleh JPJ kepada pemandu-pemandu lori dengan menggunakan alat komunikasi ‘walkie talkie’ bagi mengelakkan daripada ditahan atas kesalahan membawa lebih muatan.

“Dengan menggunakan motosikal mereka akan memantau pergerakan anggota JPJ sebelum melaporkan kepada pemandu lori dan tindakan itu jelas mengganggu kelancaran operasi JPJ, namun nilai upah yang tinggi yang mencecah sehingga RM2,500 sebulan itu membuatkan mereka tidak endah dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri itu bermula pada pukul 8 pagi sehingga 7 malam.

Beliau berkata salah seorang tonto berumur 20 tahun yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan telah diserahkan kepada AADK manakala lima yang lain diserahkan kepada SKMM untuk tindakan lanjut.

“Kita telah menyita sebuah motosikal atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh manakala lima lagi motosikal ditahan untuk tempoh 48 jam. Selain itu, turut disita ialah alat komunikasi yang tidak berdaftar yang digunakan oleh tonto untuk berkomunikasi dengan pemandu lori,” katanya.

Sementara itu dalam Ops Lebih Muatan pula, 71 kes dicatatkan melibatkan melibatkan 22 kesalahan membawa muatan bahaya, lebih muatan (10), tidak hadir timbang (empat), lesen memandu (lapan), nombor pendaftaran (lima), lesen kenderaan motor (enam), insurans (enam) dan lain-lain kesalahan sebanyak 10 kes.

“Ops terbabit dibuat di Kulim, Baling dan Kuala Muda kerana kita dapati banyak lori yang membawa muatan lebih di kawasan berkenaan. Sekiranya tidak dibendung, kita bimbang ia akan menyebabkan berlakunya kemalangan jalanraya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Azhar berkata sepanjang Jan 2015 hingga sehingga kini, JPJ Kedah telah menyita 75 kenderaan klon dan angka itu dijangka bertambah menjelang hujung tahun ini.

“Bagi tahun 2015, kita telah menyita 17 kereta mewah manakala bagi tahun 2016 bermula Jan hingga sekarang kita telah menyita 58 kenderaan mewah seperti Mini Cooper, Honda Odyssey dan Honda Civic,” katanya. – BERNAMA