Kelab Veteran UMNO Tolak Sebarang Usaha Guling Mohd Najib

Datuk Mustapha Yaakub
KUALA LUMPUR - Kelab Veteran Umno menentang sebarang usaha untuk menggulingkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokrasi.

Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub dalam kenyataan di sini, Ahad berkata, 800,000 anggota kelab akan berdiri teguh di belakang pemimpin nombor satu negara itu dan mempertahankan Umno daripada dimusnahkan.

Beliau mengulas tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat yang mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatanganan lain termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mustapha berkata tindakan Dr Mahathir yang bekerjasama dengan pembangkang membuat deklarasi untuk menjatuhkan Najib, adalah sama seperti menghancurkan institusi keramat Umno.

Mustapha mengingatkan Dr Mahathir bahawa Najib dipilih oleh perwakilan sebulat suara dalam pemilihan terbuka Umno tanpa sebarang syarat yang sebelum ini dikuatkuasakan pada zaman bekas perdana menteri itu.

"Oleh itu, mereka akan berdepan dengan Veteran. Veteran akan mengisytiharkan perang dengan sesiapa saja yang mahu menghancurkan Umno. Biar mati bergalang tanah dari hidup menjadi bangkai," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Dr Mahathir mengepalai kumpulan itu sebagai terdesak untuk mencapai matlamatnya supaya Najib digulingkan sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan DAP.

"Semuanya atas alasan untuk menyelamatkan Malaysia. Kononnya, jatuhkan Najib, maka selamatlah Malaysia. Kononnya, jatuhkan Najib, bukan bermakna jatuhkan kerajaan BN," katanya. - Bernama