Kerajaan Agih Semula Spektrum Tingkat Kualiti Liputan Tanpa Wayar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak
KUALA LUMPUR – Pengagihan semula spektrum pada jalur 900 Megahertz (MHz) dan 1,800MHz adalah untuk meningkatkan kualiti kelajuan perkhidmatan tanpa wayar termasuk liputan luas di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi perkhidmatan bergerak, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata langkah itu juga dilakukan supaya jalur spektrum boleh digunakan dengan lebih efisien dan saksama.

“Ia juga bagi memastikan pemberi perkhidmatan juga dapat menggunakan teknologi terkini di kedua-dua jalur tersebut,” katanya menjawab soalan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) di Dewan Rakyat semalam.

Jeff Oii bertanya mengenai rancangan peruntukan semula spektrum bagi jalur 900Mhz dan 1800Mhz yang dilaksanakan kerajaan.

Menjelas lanjut, Salleh berkata agihan spektrum itu dilaksanakan melalui pentadbiran dan bukan lelongan bagi mengelakkan harga yang terlalu tinggi.

“Harga spektrum tersebut sedang dikaji dan akan ditentukan pada pertengahan tahun ini,” katanya yang memaklumkan pengagihan semula spekrum diberi secara saksama kepada empat pemberi perkhidmatan utama iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile.

“Pengagihan semula di kedua-dua jalur ini adalah melalui peruntukan spektrum di mana tempoh penggunaan adalah selama 15 tahun. Ini bertujuan supaya pemberi perkhidmatan mendapat jaminan jangka masa panjang dari segi pembangunan perniagaan dan peluasan rangkaian,” katanya.

Salleh berkata pemilihan empat pemberi perkhidmatan itu adalah kerana mereka telah mempunyai asas infrastruktur yang boleh diperluaskan untuk meningkatkan lagi daya saing dalam industri komunikasi. – BERNAMA