Kerajaan BN Terus Tabur Budi Di Kawasan Wan Azizah

Najib bertanya khabar penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah (Gambar facebook.com/najibrazak)
KUALA LUMPUR – Kerajaan pusat sedia untuk membina semula Pusat Jagaan Al-Fikrah Kajang di kawasan yang lebih luas untuk keselesaan penghuninya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib berkata jika pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi kelulusan untuk sebuah tapak baharu, kerajaan pusat bersedia membina sebuah bangunan dua tingkat yang lebih moden dan sempurna untuk penghuni pusat jagaan itu di masa hadapan.

“Insya-Allah proses kelulusan tapak ini akan dipermudahkan oleh pihak berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kita akan berusaha untuk membina sebuah pusat penjagaan dua tingkat yang lebih moden dan sempurna bagi menampung lebih ramai penghuni pada masa-masa akan datang,” katanya melalui blognya NajibRazak.com.

Menurutnya kemudahan dan peralatan yang sempurna penting untuk keselesaan agar mereka dapat menjalani kehidupan usia senja mereka dalam keadaan tenang dan teratur supaya memberi lebih makna kepada kehidupan mereka.

Semalam, perdana menteri sempat meluangkan masa untuk singgah sebentar menziarahi 70 penghuni di pusat yang ditubuhkan sejak Julai 2012 itu yang menjadi rumah perlindungan kepada warga emas dan remaja kurang upaya yang hilang tempat berteduh.

“Saya juga sempat melawat kebun diuruskan oleh para penghuni yang mampu menampung sebanyak 30 peratus daripada keperluan harian penghuni.

“Saya tidak dapat menahan rasa sebak apabila berbual dengan penghuni yang rata-rata telah berusia lebih 70 tahun, kebanyakan mereka berkongsi kepada saya kisah diabaikan anak-anak serta tiada penjaga,” katanya.

Najib berkata beliau juga telah meminta sukarelawan 1M4U untuk membantu penghuni menjalani sesi fisioterapi dan penjagaan kesihatan di bawah program 1Care for 1Malaysia untuk memastikan mereka menerima rawatan kesihatan yang berkualiti. – BERNAMA