Kerajaan Lanjutkan Diskaun 30% Khidmat Bas Antara Bandar

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan potongan harga sebanyak 30 peratus bagi pas bulanan perkhidmatan bas antara bandar terpilih dari Rawang, Klang dan Seremban ke pusat bandar Kuala Lumpur dari 1 Mac hingga 31 Dis, 2016.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata harga bagi pas bulanan itu berbeza mengikut laluan serta pengendali perkhidmatan bas berkenaan.

“Penumpang yang layak boleh membeli pas bulanan itu daripada pengendali terbabit bagi menikmati perjalanan yang lancar,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Diskaun yang tertakluk kepada terma dan syarat, kini dibuka kepada semua warganegara yang menetap dan berulang alik dari Seremban, Klang dan Rawang untuk bekerja di Kuala Lumpur.

SPAD berkata diskaun itu hanya untuk pemilik pas bulanan dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Inisiatif yang diperkenalkan pada 1 Sep, 2015 adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi mengurangkan kos perjalanan harian bagi pengguna yang menetap di pinggir bandar,” katanya. – BERNAMA