Kerajaan Mahu Sekolah Menengah Agama Negeri Dan Rakyat Diperkasa

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
KOTA BAHARU – Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di seluruh negara akan diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang yang memiliki jiwa Islam tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) akan memainkan peranan bagi mencapai matlamat itu.

“Selain meningkatkan sistem pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah itu, Jakim dan Lepai akan melatih guru di sekolah tersebut bagi memupuk pemikiran pelajar yang tidak hanya melihat subjek agama sekadar menjadi ustaz dan alim ulama tetapi menjadi tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, perbankan, perundangan dan ekonomi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Multaqa Pengetua SMAN dan SMAR Peringkat Kebangsaan 2016 di sini, malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata negara ini memerlukan lebih ramai mereka yang kebolehpasaran dalam pelbagai bidang profesional dan memiliki jiwa pemikiran Islam yang jelas.

Beliau berkata kini terdapat 168 SMAN dan SMAR di seluruh negara dengan jumlah pelajar seramai 64,769 orang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha ketika berucap pada majlis itu, berkata multaqa tersebut yang menghimpunkan semua pengetua sekolah berkenaan bertujuan memberi pendedahan berkenaan isu-isu semasa pendidikan negara.

SMAN adalah sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri, manakala SMAR dikendalikan individu atau pihak tertentu. – BERNAMA