Kerajaan Negeri Disaran Bina Rumah Transit Untuk Gelandangan

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun
KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri perlu turut membina rumah transit untuk gelandangan seperti yang dibina di ibu negara bagi membantu kerajaan menangani kes gelandangan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun berkata selain dapat mendaftargolongan gelandangan, ia juga dapat membantu menyelesaikan isu jangka pendek seperti perumahan dan pekerjaan kepada golongan berkenaan.

“KPWKM berharap pihak berkuasa tempatan di bandar-bandar besar yang lain akan mengikut jejak usaha kementerian dalam menyelesaikan isu golongan gelandangan dalam kawasan pentadbiran mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang meminta penjelasan KPWKM berhubung pendaftaran orang-orang gelandangan di seluruh negara dan bentuk bantuan untuk mereka.

Azizah menjelaskan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang telah mula beroperasi sejak 10 Februari lalu dengan kapasiti 250 orang.

Beliau berkata ia merupakan kerjasama strategik yang dijalin antara Kementerian Wilayah Persekutuan, KPWKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Katanya selain di pusat transit itu, golongan gelandangan turut didaftarkan di bawah operasi penyelamat orang papa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dari Januari hingga Disember tahun lalu, seramai 1,527 orang papa telah diselamatkan dan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu masing-masing seramai 413 orang, 280 orang dan 215 orang,” katanya.

Selain itu Azizah berkata pendaftaran gelandangan juga dilaksanakan menerusi Anjung Singgah iaitu sebuah pusat sehenti intervensi yang dikendalikan Yayasan Kebajikan Negara.

Anjung Singgah katanya menyediakan tempat penginapan sementara, makanan serta khidmat kaunseling dan bantuan kebajikan yang diperlukan dengan kerjasama kerajaan dan NGO.

“Anjung Singgah yang ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 2011 telah diperluaskan ke Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang. YKN sedang dalam proses membina dua lagi di Ipoh dan Kota Kinabalu.

“Sehingga Januari tahun ini, sejumlah 3,215 orang gelandangan secara sukarela yang ingin mengubah kehidupan mereka telah mendapatkan khidmat di empat Anjung Singgah tersebut,” katanya. – BERNAMA