Kerajaan Tidak Cadang Tubuh Mahkamah Pengguna - Hamzah Zainuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang untuk menubuhkan mahkamah pengguna bagi mengendali kes kepenggunaan termasuk kesalahan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata walaupun keperluan tersebut relevan dengan pelaksanaan GST, namun setakat ini sistem sedia ada sudah mencukupi.

“Namun kita tetap ambil perhatian dengan kehendak pelbagai pihak yang mahu mahkamah ini diwujudkan. Jika keadaan mendesak kita akan fikirkan semula,” katanya menjawab soalan lisan Normala Abdul Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) pada persidangan Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata sehingga 8 Mac ini, sebanyak 2,848 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut.

Hasil tindakan itu katanya sebanyak 209 kertas siasatan telah dibuka iaitu 147 kertas siasatan di bawah Seksyen 14 (1) kerana mencatut, 55 kertas siasatan di bawah Seksyen 21 (5) kerana enggan atau gagal memberi maklum balas kepada notis yang dikeluarkan dan tujuh kertas siasatan di bawah Seksyen 53A kerana tidak menyimpan rekod perniagaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 19 kes telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Anti Pencatutan di mana sejumlah 16 kes telah selesai didakwa serta dijatuhkan hukuman dengan denda keseluruhan RM495,500.

“Jumlah kompaun pula ialah sebanyak 14 kes iaitu masing-masing 10 kes di bawah Seksyen 14(1) dan empat kes di bawah Seksyen 12(5),” kata Hamzah.

Beliau berkata sehingga kini, 13 kes telah selesai dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM178,000 manakala baki satu kes belum dijelaskan. – BERNAMA