Kerajaan Tidak Paksa Sekolah Laksana Program Dwibahasa

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah ketika ini bukan paksaan sebaliknya ia hanya dilaksanakan di sekolah yang memenuhi kriteria, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata program untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan pada masa yang sama untuk mengukuhkan Bahasa Inggeris itu hanya dilaksanakan di sekolah-sekolah yang memohon untuk melaksanakannya.

“Terdapat beberapa kriteria untuk melaksanakan program ini antaranya sekolah perlu mempunyai sumber yang mencukupi, kesediaan daripada pengetua, guru besar dan guru-guru, persetujuan ibu bapa dan pencapaian sekolah dalam subjek Bahasa Malaysia mestilah sama atau melebihi pencapaian purata kebangsaan.

“Tiada paksaan dalam program ini seperti kekhuatiran sesetengah pihak, “, katanya menjawab soalan Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang meminta kementerian menyatakan dengan terperinci program DLP yang telah diarahkan kepada pihak sekolah.


Kamalanathan berkata kementerian juga akan sentiasa memantau pelaksanaan program itu dan bersedia menerima pandangan semua pihak berhubung DLP.

Beliau berkata setakat ini, pihak kementerian mendapati program itu berjaya meningkatkan prestasi pelajar dalam menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Kita mengamalkan dasar memartabatkan Bahasa Malaysia dan mengukuhkan Bahasa Inggeris, serta tidak wujud pengabaian Bahasa Malaysia,” katanya.

Kamalanathan berkata kementerian juga akan meneruskan Program Imersif Tinggi (HIP) yang kini dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara.

Program DLP dan HIP adalah program yang dilaksanakan mulai tahun ini sejajar dengan usaha pengukuhan Bahasa Inggeris di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) menerusi Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. – BERNAMA