Keadaan kereta mangsa yang hangus terbakar. |
GUAR CHEMPEDAK - Seorang lelaki hanya mengalami cedera ringan walaupun kereta yang dipandunya terbakar seratus peratus di Kilometer 78, Lebuhraya Utara Selatan menghala arah Utara, pagi semalam.
Kereta Proton Gen2 yang dipandu Mohd Najmi Abidin, 28, hangus dalam kejadian itu manakala mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, menggunakan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan rawatan.
Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fisol Osman dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak berkata, ketika jentera bomba tiba di lokasi, kereta mangsa sedang terbakar manakala mangsa sudah diselamatkan orang ramai.
“Jentera bomba terima panggilan pada 8.22 pagi dan tiba empat minit kemudian, berikutan jarak dari balai hanya 15 kilometer. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.00 pagi,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang memandu bersendirian dari Putrajaya ke Perlis, hilang kawalan kenderaannya apabila salah satu tayar kereta pancit, lalu terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya sebelum menjunam ke dalam longkang yang jaraknya 10 kaki dari jalan raya.
“Tangki minyak pecah akibat pelanggaran itu, menyebabkan kereta terbakar. Mangsa yang diselamatkan orang ramai dibawa naik ke tepi jalan, sementara menunggu ambulans tiba,” katanya.
Sumber: Sinar Harian