Kes Buli: "Kembalikan Kuasa Rotan Pada Guru Di Sekolah" - Netizen

Bagi menangani masalah disiplin dan kes buli yang semakin menjadi-jadi, pihak Kementerian Pendidikan dicadangkan supaya mengembalikan hak kepada guru-guru untuk merotan pelajar yang bermasalah dan melakukan kesalahan di sekolah.

Majoriti pandangan tersebut dizahirkan oleh warga netizen di ruangan komen di laman Facebook rasmi Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan beliau mengenai isu yang makin mencetus kebimbangan masyarakat tersebut.

Mahdzir dalam kenyataannya menegaskan bahawa penekanan perlu dibuat dari sudut kawalan dan pencegahan kes buli di sekolah dan bukan lagi masa untuk membuat kajian mengenainya.

"Ini bukan lagi tempoh bagi membuat kajian, tetapi tindakan ke arah kawalan dan pencegahan di peringkat sekolah," tegas Mahdzir yang kini popular dengan panggilan mesra, "Cikgu Det".

Kenyataan Menteri itu disokong penuh rata-rata netizen di ruangan komen "posting" tersebut dan mencadangkan supaya tindakan yang lebih tegas dan serius seperti merotan pelajar perlu dilaksanakan semula.

"Saya sokong.. murid skrg tak boleh di usik langsung walaupun sudah melakukan kesalahan.. setakat ini tindakan yg hanya boleh diambik iaitu report kesalahan, beritahu kesalahan kepada ibubapa.. itu sahaja.. murid tak takut peraturan sekolah yang telah ditetapkan..," tulis Zul Scout yang dipercayai bertugas sebagai seorang guru.

"Kembalikan guru memegang rotan. at least dia takut buat kesalahan. di rumah mak ayah tak da masa dgn anak. zaman sekarang mak ayah ramai yg menternak anak. bkn mendidik dan mengasuh anak," tulis Marzianah Othman pula.

"Hilang nya kuasa merotan menyebabkan guru tak mau ambik tahu sangat. Apalah ada setakat membuat laporan kes salah laku displin yg tidak berfaedah langsung. Guru sekadar menjalankan tugas menasihat. Menegur. Kalau mahu dengar. Kalau murid tidak peduli biarkan saja," komen Salehuddin Mohamed Ali memberi pandangannya.

"Cikgu berasa sgt gembira bila ada parents yg dtg hntar anak ke sekolah dan brpesan, "kalau anak sy buat salah cikgu pukul je asalkn jgn patah riuk dan luka. Sy nk cikgu buat mcm cikgu sy buat dulu. Bdk2 ni kdg2 cakapnya lebih dongeng dri realiti".

"Tiba masa hari guru parent trsebut hadiahkn rotan kpd cikgu utk rotan anaknya.. rotan masih relevan dlm mndidik!!," cadang Afiq Syimir Samsudin yang mahu kuasa merotan pelajar dilaksanakan semula.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan kes seorang murid mangsa buli  yang dipaksa memotong lidahnya sendiri dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Klang, Selangor dan lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung serta menerima satu jahitan.

Kejadian berkenaan mendapat perhatian ramai dan sedang disiasat pihak berkuasa.

"Merekodkan keterangan daripada mangsa, saksi dan suspek merupakan cabaran terbesar pihak polis kerana mereka kanak-kanak kecil yang berumur kurang daripada 10 tahun.

“Kita perlu menunggu sehingga emosi mereka yang terlibat ini stabil terlebih dahulu sebelum keterangan boleh diambil supaya gambaran sebenar kejadian dapat diketahui,” kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abdul Razak, baru-baru ini mengenai kes terbabit. -Kedahnews.com