Kini Boleh Bayar Guna Touch n' Go Di 11 Cawangan Puspakom


KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh membuat bayaran pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) dengan menggunakan kad Touch ’n Go di 11 cawangan syarikat itu di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata, langkah itu bagi menyediakan alternatif pembayaran secara elektronik selain daripada bayaran secara tunai kepada orang ramai.

“Penggunaan kad Touch ’n Go dapat mempercepatkan proses pembayaran di Puspakom tanpa perlu menyediakan wang tunai dan syiling seiring dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Badan korporat atau syarikat-syarikat yang mempunyai PLUSTrack Card dan Fleet Pass Card daripada Touch ’n Go juga boleh diterima pakai di cawangan-cawangan tersebut,” katannya dalam satu kenyataan media semalam.


Mohammed Shukor berkata, penggunaan kad Touch ’n Go itu diperkenalkan di 11 cawangan yang terpilih di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

Katanya, pusat pemeriksaan di Shah Alam merupakan cawangan pertama yang memperkenalkan perkhidmatan penggunaan kad Touch ’n Go sejak tahun 2014.

“Kami bercadang untuk melanjutkan perkhidmatan ini secara berperingkat ke cawangan-cawangan Puspakom lain,” katanya. –Kedahnews.com