Tertuduh menutup mukanya dengan sehelai baju setelah menyedari kehadiran media di mahkamah pagi semalam |
ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,100 daripada seorang wanita dua tahun lalu.
Konstabel Mohammed Noriskand Othman, 30, yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan hakim Zanol Rashid Hussain.
Mengikut pertuduhan, Mohammed Noriskand didakwa menerima rasuah wang tunai masing-masing sebanyak RM100 serta RM2,000 daripada Minah Mat Isa untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana disyaki membawa daun ketum.
Dia yang bertugas di Balai Polis Kuah, Langkawi didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Jun 2014 jam 8.30 pagi, di Pondok Bit Jeti Kuah.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.
Dalam prosiding sama, tertuduh juga dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana cuba untuk memperoleh rasuah berjumlah RM300 daripada individu sama bagi kesalahan sama.
Mohammed Noriskand didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.40 petang di sebuah Restoran Nasi Kandar A.Ajmal, Jalan Padang Gaong, Langkawi pada 14 Jun 2014.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri A.Hafiizh Abu Bakar menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan Mohammed Noriskand diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sumber: Sinar Harian