"Kos Saya, Isteri Kawen Tak Sampai RM1,000" - Pembaca Berita TV9

Pembaca berita sambilan TV9, Fadhil Mohamad Isa, 32, dan pasangannya Siti Norazlin Salim.
Siapa kata mahu melangsungkan sesebuah majlis perkahwinan wajib memerlukan sejumlah peruntukan yang besar?

Pembaca berita sambilan TV9, Fadhil Mohamad Isa, 32, dan pasangannya Siti Norazlin Salim ini telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk mengadakan kenduri kahwin yang murah.

Pasangan yang disatukan pada Oktober tahun lalu ini memilih untuk meraikan hari bahagia mereka dengan cara yang ringkas iaitu tanpa pelamin indah, barangan hantaran serta persalinan mewah.

Apa yang lebih menarik, pasangan yang diijab kabul di sebuah masjid di Kuala Lumpur ini menyajikan keluarga dan sahabat mereka dengan jamuan makan di sebuah restoran yang hanya menelan kos RM500.


Menurut Fadhil, dia dan isterinya memilih untuk mengadakan majlis yang ringkas kerana tidak mahu membazir walaupun sebenarnya mempunyai kemampuan.

“Bukan saya tak ada duit untuk buat majlis, duit simpanan saya melebihi cukup untuk buat majlis besar-besaran tetapi, kami pilih kahwin serba ringkas dan bersederhana selain berjimat ia lagi berkat sebenarnya.


“Lagipun kami fikir lebih baik duit simpanan itu digunakan untuk teruskan hidup selepas kahwin memandangkan kos sara hidup di bandar ini tinggi.

“Saya hanya berbelanja sekitar RM800 sahaja untuk urusan akad nikah dan jamuan makan rakan serta keluarga kedua-dua pihak di sebuah restoran di ibu negara,” katanya kepada Harian Metro.

Kisah perkahwinan Fadhil menjadi viral sejak semalam selepas dia mendedahkan kos perbelanjaan perkahwinannya menerusi akaun Facebook miliknya.


Status tersebut berbunyi;

Betul ke boleh kahwin murah?

Betul, saya dengan isteri kahwin tak sampai seribu. Mas kahwin RM100, kadi dan saksi RM200. Makan lepas nikah ahli keluarga dan sahabat rapat yang hadir tak sampai RM500. (Makan dekat Dapor Sarawak). Takde katering, ala carte je. Budak-budak TV9 saya belikan 2 bucket KFC.
 
Kawan2 yang datang bawak camera jadi photographer terus. Of course takde bersanding. Takde berinai. Ambil gambar post kat FB. Takde hantaran. Baju pakai baju yang ada. Takde tukar2 baju.

Nak tak nak je.

Semoga perkahwinan ini diberkati dan sehingga ke jannah.

P.s … kahwin kat kl.
Dalam pada itu, Fadhil turut berkongsi khabar gembira mengenai isterinya yang sedang hamil tiga bulan.  -Kedahnews.com