Kotak Hitam Pesawat CN235 Milik TUDM Ditemui Di Paya Bakau

PETALING JAYA – Kotak hitam pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat pendaratan kecemasan di kawasan paya bakau Kuala Selangor, Jumaat lepas, telah ditemui.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad berkata kotak hitam berkenaan ditemui pada petang Sabtu lepas oleh pasukan penyiasatan insiden pesawat itu.

“Kotak hitam sudah ditemui dan akan dihantar ke Bandung, Indonesia selewat-lewatnya petang ini untuk dianalisa kerana syarikat pembuatan pesawat berkenaan berada di negara itu.

Saya menjangkakan proses menganalisis maklumat daripada kotak hitam itu akan mengambil sekurang-kurangnya lima hari dan hasilnya membantu TUDM untuk mengetahui punca sebenar insiden itu,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara TUDM di Subang, dekat sini, semalam.

Mengenai proses mengeluarkan pesawat, Roslan berkata ia dijangka memerlukan masa yang lama kerana faktor persekitaran yang mencabar.

“Kami hanya boleh mengambil masa selama enam jam sahaja untuk kerja-kerja penyiasatan dan membawa keluar pesawat itu kerana keadaan air pasang menyukarkan proses berkenaan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan memotong serpihan pesawat berkenaaan akan dibuat sekiranya perlu.

Ditanya mengenai status tujuh buah pesawat CN235 yang lain, Roslan berkata perkhidmatannya dihentikan buat sementara waktu.

“Dua pesawat itu sudah selesai diperiksa, dua lagi pesawat sedang diperiksa manakala tiga lagi pesawat berkenaan menunggu giliran untuk melakukan proses yang sama,” katanya.

Dalam kejadian 8.50 pagi Jumaat lepas, pesawat itu yang membawa lapan anak kapal membuat pendaratan cemas setelah mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.

Kesemua anak kapal dapat diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan itu. – BERNAMA