KPN Sahkan Cubaan Culik PM, PDRM Jamin Negara Selamat

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR– Polis mengesahkan ada cubaan menculik beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri oleh kumpulan militan Daesh tahun lalu seperti yang didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan di negara ini adalah selamat dan terkawal.

“Benar terdapat cubaan culik itu…menjadi tugas kami untuk mencegah sebarang jenayah yang berlaku di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Kolej Unikop dan Open University Malaysia (OUM), di sini, hari ini.

Khalid berkata demikian ketika ditanya berhubung pendedahan Ahmad Zahid tentang cubaan culik itu.

Hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahkan selain Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menjadi sasaran kumpulan militan itu ialah beliau sendiri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengulas mengenai negara tertentu yang mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap rakyatnya di negara ini, Khalid berkata polis memberi jaminan bahawa keselamatan pelawat atau pelancong ke negara ini adalah selamat.

“Amaran keselamatan itu hak mereka untuk halang rakyat daripada pergi ke tempat yang mereka fikir tidak selamat. Saya beri jaminan bahawa keselamatan kita terjamin dan terkawal…kami alu-alukan mana-mana pelawat untuk ke sini,” katanya.

Pada 22 Feb lepas, media melaporkan bahawa Kerajaan Australia menerusi kenyataan di laman web rasminya mengeluarkan amaran berjaga-jaga dengan ancaman pengganas di sini, yang mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.– BERNAMA