Kritik Pramugara AirAsia, Ainan Tasneem "Dibahan" Netizen

Gara-gara terlanjur kata mengkritik cara kerja seorang pramugara Air Asia, teruk penyanyi Ainan Tasneem dikritik kembali pengguna di laman sosial.

Semuanya bermula apabila Ainan memuat naik satu pos menceritakan perbuatan seorang pramugara Air Asia yang dikatakan membuat muka kurang senang apabila sepupu Ainan meminta pertolongan mengangkat bagasinya ke overhead compartment kerana tidak sampai.

Pramugara tersebut dikatakan membantu dengan muka kurang senang dan memberitahu itu tidak termasuk dalam bidang tugasnya. Justeru, Ainan mempertikaikan perkara itu.


Ternyata, Ainan memang silap kerana Air Asia sebelum ini sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mengangkat beg pelanggan sememangnya tidak termasuk dalam bidang kerja pramugara. Itulah puncak yang membuatkan Ainan teruk ‘dibahan’ netizen.

Susulan itu, Ainan dikatakan memohon maaf kerana kesilapan tentang bidang tugas pramugara namun tetap bertegas pramugara itu melakukan kesilapan kerana tidak melayan penumpang dengan lemah lembut.


Bagaimanapun tak lama kemudian, posting tentang kisah pramugara mahupun permintaan maaf tersebut didapati telah dipadam daripada akaun sosial Ainan.

Akibatnya ruangan komen pada lain-lain pos yang dibuat Ainan dijadikan ruangan untuknya dihentam berkaitan isu berkenaan.

Pramugara terbabit yang disebut namanya dalam pos dibuat Ainan, turut memberi respon melalui akaun Instagram miliknya.


Sebenarnya kami faham apa yang cuba disampaikan oleh Ainan tetapi sebagai seorang yang dikenali ada beberapa perkara tidak sepatutnya dikongsikan terlalu detail terutama jika ianya tidak diperiksa terlebih dahulu.

Bukan Ainan sahaja, sesiapa sahaja perlu hati-hati sebelum berkongsikan sesuatu apatah lagi ia memetik nama seseorang dan melibatkan periuk nasinya.

Sebaik-baiknya gunakan saluran rasmi yang disediakan kerana ia lebih berhemah dan aduan yang ingin disampaikan pun pergi kepada pihak yang tepat. –Kedahnews.com