Ku Li Nafi, Tegaskan Tidak Sokong Deklarasi Dr Mahathir

Tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini digembar-gemburkan menyokong deklarasi anti Najib yang dilancarkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas, hari ini tampil menafikan penglibatannya.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menegaskan dakwaan kononnya beliau menyokong deklarasi yang menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah tidak benar walaupun namanya disebut dalam majlis tersebut.

“Saya tidak hadir,” katanya dipetik dari laporan Malaysiakini selepas ditanya pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

“Saya tidak menyokong, saya tidak tahu apa pun,” ujarnya ringkas ketika ditanya sama ada beliau menyokong kempen untuk mengulingkan Najib yang digerakkan oleh Dr Mahathir dengan sokongan pemimpin pembangkang.

Jumaat lepas nama Ahli Parlimen Gua Musang itu disebut sebagai antara pemimpin BN yang menyokong gerakan dianjurkan Dr Mahathir bersama DAP, PKR dan beberapa NGO lain dalam usaha mereka untuk menggulingkan Perdana Menteri.

Beliau bagaimana pun tidak hadir dan tempat duduk beliau untuk majlis tandatangan deklarasi tersebut telah digantikan dengan bekas Pengerusi Bersih 2, Ambiga Srevaneesan.

Ku Li merupakan antara tokoh UMNO yang menjadi 'mangsa politik' Tun Dr Mahathir selama 22 tahun mengemudi parti itu sebagai Presiden dan Perdana Menteri.


Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen dalam talian untuk menyokong Najib selaku Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi, Tengku Razaleigh berkata beliau menyokong usaha kempen tersebut.

“Saya menyokong penuh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana usahanya yang telah membawa negara ini ke tempat yang lebih baik,” katanya dipetik dari laporan TheStar.

Sementara itu, selain Tengku Razaleigh, dua lagi individu berpengaruh yang turut menafikan penglibatan mereka dengan gerakan Dr Mahathir untuk menggulingkan Najib itu ialah Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad.

“Saya hairan macam mana nama saya boleh dikaitkan sedangkan saya berada di hospital. Mungkin mereka mahu tunjukkan pada rakyat bahawa deklarasi itu mendapat sokongan kuat.

“Saya tidak akan sama sekali bersetuju dengan perbuatan menggulingkan kerajaan, saya ada pendirian sendiri,” kata Zaman Khan dipetik dari laporan Mingguan Malaysia semalam. -Kedahnews.com