Kurangkan Protokol MB Kedah Untuk Jimat Belanja - Ahmad Bashah


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahu supaya protokol dikurangkan dalam program anjuran kerajaan dan majlis yang dihadirinya bagi menjimatkan perbelanjaan.

Ahmad Bashah berkata beliau faham mengenai protokol yang perlu diikuti, namun, secara tidak langsung tindakan mengurangkan perbelanjaan boleh menjimatkan kos kerajaan negeri dan penganjur majlis.

“Pengurangan kos ini disambut baik semua pihak dan kita harus beri keutamaan kepada rakyat bukannya protokol,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah.

“Rakyat datang jumpa kita dengan harapan kita dapat tolong mereka, jadi kita kena membantu menunaikan harapan tersebut,” katanya. – BERNAMA