Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Lambakan beras yang dihadapi pengilang kecil dan sederhana di negara ini sejak tiga tahun lalu memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengelak pengilang terbabit gulung tikar.
Yang DiPertua Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md Radzi berkata, lambakan beras yang berlaku sejak tiga tahun lalu meliputi hampir 40 peratus semusim.
“Sehingga kini, sebanyak 36,282 metrik tan stok beras sedia ada masih tersadai di kilang sekitar Kedah dan Perlis dan menimbulkan kerisauan kepada pemilik kilang andai berlaku kerosakan,” katanya pada sidang media, semalam.
Menurutnya, berikutan stok beras masih tersadai di kilang, mereka tidak dapat memproses 102,312 metrik tan padi kering bagi musim ini bermula Januari hingga Mac.
“Selagi pemborong tidak membeli beras terbabit, proses padi kering tidak dapat dijalankan. Situasi ini memberi kesan terhadap pembelian padi daripada petani pada musim akan datang,” katanya.
Musonnef berkata, sebelum ini pemborong membeli beras daripada pengilang dan Bernas, namun sejak mereka membina kilang sendiri, pembelian beras daripada pengilang sedia ada semakin terhad.
“Mereka mempunyai dua peranan, iaitu sebagai pengilang dan pemborong. Manakala pengilang kecil dan sederhana pula hanya bertindak sebagai pengilang,” katanya
Menurutnya, kilang pemborong berkapasiti besar, iaitu sekitar 40,000 metrik tan semusim dan mampu menguasai pasaran, manakala kapasiti pengilang kecil dan sederhana hanya berkemampuan sekitar 5,000 metrik tan semusim.
“Kemampuan kilang kami rendah kerana kekurangan modal dan keupayaan kilang terhad dalam proses pengeringan padi dan penyimpanan,” katanya.
Musonnef berkata, sehingga kini, sebanyak 23 buah kilang seluruh Malaysia berdaftar bawah PPBMM, di mana lapan buah kilang kini berdepan masalah kewangan.
Sumber: Sinar Harian