Liyana Jasmay Mahu Kembali Aktif Sehari Selepas Habis Pantang


SELEPAS kelahiran anak kedua Liyana Jasmay mengakui anak-anaknya langsung tidak mengganggu tumpuannya untuk kembali aktif dalam bidang perniagaan, Mermaid Luxe dan produksinya, Mermaid Studios.

“Alhamdulillah kerana anak sulung Sofia Arissa dan adiknya Selena tidak banyak ragam. Ini memudahkan saya untuk kembali fokus kepada kerjaya dan perniagaan saya.

“Sudah lama saya berehat dan kini saya tidak sabar untuk bekerja kembali. Selepas sehari selesai berpantang, saya terus ke pejabat untuk menyelesaikan dan mengurus apa yang perlu,” katanya.

Menurut Liyana dia mahu lebih fokus terhadap kerjaya kerana ketika sedang sarat mengandung anak keduanya sehingga selesai berpantang, banyak urusan pejabat telah ditangguh dan kini dia mahu menyelesaikannya.

“Banyak projek yang dirancang terpaksa ditangguh semasa saya sedang sarat dan berpantang. Kini semuanya kembali berjalan lancar.

“Selain dunia perniagaan, fokus kepada kerjaya seni tidak dilupakan. Insya-Allah bulan depan akan muncul single terbaharu dari saya,” tambahnya. –Kedahnews.com