Lori Terkandas Di Sempadan Lebih 5 Jam Tiap Hari Sejak 6 Bulan

Mohd Johari menunjukkan keadaan kesesakan lori di laluan utama sempadan Thailand-Malaysia.
BUKIT KAYU HITAM – Persatuan Ejen Penghantaran Bukit Kayu Hitam mendakwa kerja-kerja menaiktaraf dan membina bangunan baru Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam menyebabkan ratusan lori terkandas lebih lima jam setiap hari.

Pengerusinya, Mohd Johari Sukaimi berkata, kesesakan itu berlaku akibat pertembungan laluan keluar dan masuk antara lori eksport dan import di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sejak lebih enam bulan lalu.

“Apabila projek itu dilaksanakan, ia memberi kesan kepada tempat menunggu pemeriksaan lori kerana keluasan semakin mengecil. Kemasukan lori pula menjadi terhad, apabila ia berlaku maka bilangan lori yang menunggu di jalan raya menjadi panjang.

“Kesesakan itu amat teruk dan sudah tentu melibatkan kos lewat masa bagi syarikat, pemandu tidak dapat memenuhi jadual perjalanan dan jadual kapal terpaksa ditunda sebab lori tidak sempat sampai ke pelabuhan,” katanya.

Menurutnya, fasa pertama projek itu dijangka siap pada 2017, manakala fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

“Apabila laluan kemasukan lori import dan eksport disatukan dalam satu laluan yang sama, sudah tentu lori akan bergerak perlahan sebab ruangannya semakin sempit.

“Kawalan trafik pun tak ada. Bukan senang nak kawal lori, semua (pemandu) nak cepat. Kalau boleh kita minta pihak berkenaan dapat sediakan jalan alternatif sementara untuk membolehkan laluan lori lancar dan tidak perlu lagi mereka buat pusingan-U,” katanya.

Mohd Johari berkata, penyediaan laluan alternatif sementara itu dipercayai mampu menyelesaikan masalah kesesakan lori di kompleks imigresen tersebut selain mengelak pertembungan lori keluar dan masuk.

“Sebelum projek ini ada, semua lori berjalan lancar. Mereka tak perlu buat pusingan-U. Apabila berlaku pertembungan antara lori import dan eksport, ia akan menyebabkan kesesakan bermula jam 8 pagi hingga lewat tengah malam.

“Kalau boleh untuk permulaan, kita minta diwujudkan satu jawatankuasa bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah ini sebab kita pun tidak tahu apa lagi yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Jelasnya, kesesakan teruk lebih lima kilometer dari Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam hingga ke Pekan Danok, Thailand itu juga menyebabkan ramai pelanggannya lari ke negeri sempadan yang lain.

“Kita menjalankan perniagaan antara dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Kita menerima banyak aduan daripada syarikat negara jiran sebab kesesakan itu menyebabkan gangguan kepada mereka khususnya di kawasan pekan.

“Kita juga telah dipanggil berjumpa dengan wakil kerajaan negara jiran bersama Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar untuk berbincang mengatasi masalah itu. Tapi sehingga hari ini belum ada sebarang tindakan dibuat,” katanya.

Tambahnya, ada juga beberapa pemandu lori dari negara jiran yang terpaksa meninggalkan lori masing-masing di kawasan kompleks imigresen sebab tidak dapat membuat pemeriksaan lori akibat sudah lewat malam.

“Mereka inggalkan lori dan balik ke rumah sebelum datang semula pada keesokan hari. Itu masalah yang berlaku di kawasan ini.

“Cadangan kita supaya pihak berkenaan dapat menyediakan lorong alternatif sementara untuk memudahkan lori keluar masuk supaya tidak bertembung. Lori import di satu ruang dan lori eksport di satu tempat,” katanya.

Mohd Johari turut mencadangkan supaya lori-lori kosong atau tanpa muatan hanya melalui laluan bas untuk sementara waktu agar tidak perlu menunggu lama.

“Kalau mereka (lori kosong) kena tunggu juga, kesian lah. Sudah lah tak ada barang, kena tunggu panjang pula. Ini kena ambil perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan,” katanya.

Ujarnya, kejadian itu juga secara tidak langsung menyebabkan ramai pelanggan ‘hilang’ dan menjejaskan pendapatan syarikat.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Ejen Penghantaran Bukit Kayu Hitam, Hasni Hussain berkata, pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian sewajarnya untuk menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berpanjangan kerana kawasan Bukit Kayu Hitam merupakan penyumbang cukai terbesar di Kedah.

“Kalau isu ini berpanjangan, pelanggan mesti akan lari dan hasil cukai juga ‘hilang’ ke negeri lain. Sudah tentu mereka akan pergi ke negeri-negeri sempadan yang lain.

“Soal kemudahan juga tidak terkecuali. Walaupun kemudahan asas disediakan, tapi tak ada penyelenggaraan. Kotor dan berbau busuk seperti pasar. Tak ada siapa nak bertanggungjawab,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ejen Penghantaran Bukit Kayu Hitam, Hafiz Othman pula mendakwa kawalan keselamatan di kawasan Kompleks Imigresen tersebut terlalu longgar.

“Soal keselamatan tak diambil berat oleh pihak berkenaan, tak ada langsung kawalan lalu lintas dan pekerja mudah terdedah kepada risiko kemalangan serta kecederaan yang amat serius. Kami tidak disediakan laluan khas untuk berurusan semasa proses keluar masuk untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Pernah juga berlaku kemalangan apabila kaki seorang kakitangan awam dilanggar lori sebab kawalan keselamatan yang terlalu  longgar di kawasan tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian