Mohamad Rodzi menunjukkan pelan projek bagi pembinaan jalan ladang di kawasan sawah di Kampung Tualang |
POKOK SENA - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menolak dakwaan golongan petani di Kampung Tualang, Mukim Jabi yang mengatakan projek pembinaan jalan ladang dan parit yang bakal dilaksana mengundang kejadian banjir lebih serius.
Menurut jurucakapnya, jurutera perunding telah mengambil kira keadaan muka bumi di situ bagi memastikan air dapat mengalir dengan baik.
"Dakwaan pembinaan jalan ladang itu membazir tidak berasas.
“Pembinaan jalan ladang itu ialah untuk memudahkan kegunaan jentera berat seperti mesin padi, traktor dan lori. Kita tidak mahu jentera berat ini membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain dan lagi pun bagi mengelak jalan utama bertambah rosak,” kata jurucakap itu.
Sebelum itu, golongan petani di kampung tersebut bimbang projek dijalankan Mada itu menyebabkan kejadian banjir bertambah buruk.
Mohamad Rodzi Md Noh, 54, berkata, projek pembinaan jalan ladang bersebelahan jalan utama iaitu di Jalan Kampung Tualang mengakibatkan aliran air di kawasan sawah akan tersekat.
“Saya difahamkan sebahagian besar laluan air yang dibuat pada jalan utama akan ditutup dan kesannya mengakibatkan aliran air di kawasan sawah tersekat dan berlaku banjir.
"Jika projek itu menyekat laluan air, dah tentu banjir akan jadi lebih teruk," katanya.
Menurut Mohamad Rodzi, pesawah di situ mengharapkan projek berkenaan memberi manfaat kepada mereka dan bukannya memburukkan lagi keadaan sedia ada.
“Kami juga tak puas hati dengan perancangan projek apabila satu jalan ladang akan dibina bersebelahan jalan utama sepanjang enam kilometer. Ini adalah pembaziran kerana jalan dah ada, kenapa nak bina lagi?
“Pihak bertanggungjawab kena bina laluan di kawasan lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Mohamad Rodzi juga berharap pihak Mada dapat menyemak semula segala perancangan projek agar ia dapat memanfaatkan lebih 1,000 pesawah di sekitar kawasan itu.
Sumber: Sinar Harian