MAIK Meterai Perjanjian Jadi Agensi Pelaksana Program Wang Ihsan Kelantan


KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini memeterai perjanjian bagi melantik majlis itu sebagai agensi pelaksana Program Wang Ihsan negeri Kelantan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya di sini menjelaskan dengan termeterainya perjanjian itu, MAIK akan berkongsi dana Wang Ihsan negeri Kelantan pada nisbah 50:50 dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP Kelantan) bagi melaksanakan Program Wang Ihsan tertakluk kepada siling RM25 juta setahun bagi setiap agensi pelaksana.

“Fokus pelaksanaan program masih dikekalkan kepada program pembasmian kemiskinan, bantuan persekolahan, ibu tunggal dan anak yatim.

“Pelantikan MAIK sebagai agensi pelaksana bersama JPP Kelantan adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Istana Negeri Kelantan,” menurut Kementerian itu.

Pada majlis itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah manakala MAIK diwakili Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi

Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan olah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra merangkap Yang Dipertua MAIK dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut kenyataan itu, penglibatan MAIK diharapkan dapat memperluas dan meningkatkan lagi keberkesanan Program Wang Ihsan Kelantan. – BERNAMA