Majoriti Besar Ketua Bahagian Gesa Tindakan Pada Muhyiddin, Mukhriz


KUALA LUMPUR – Sejumlah 147 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara mendesak Majlis Tertinggi mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin parti itu yang terlibat dalam Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Menurut Ketua Bahagian UMNO Batu Gajah, Datuk Wira Mohd. Yusoff Kassim yang merupakan jurucakap kepada semua ketua bahagian yang hadir, desakan itu adalah hasil daripada keputusan mesyuarat diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula jam 4 petang Sabtu.

“Kami mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan khususnya Muhyiddin dan Mukhriz kerana bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi.

“Oleh itu, kami ketua bahagian mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam deklarasi rakyat,” katanya pada sidang media Solidariti Ketua UMNO Bahagian Semalaysia bersama Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Sabtu.

Solidariti tersebut secara jelas diadakan bagi mempertahankan Najib dari gerakan Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Antara ketua bahagian yang hadir ialah Bera, Rantau Panjang, Kuala Kedah, Jerantut, Kuantan, Jempol, Pensiangan, Gopeng, Dungun, Puchong, Hulu Langat, Pokok Sena, Rasah, Petaling Jaya Utara, Jerai, Kepong, Silam, Klang, Batu, Bakri, Sabak Bernam, Shah Alam, Petaling Jaya Selatan, Kapar, Pendang, Kuala Terengganu.

Bahagian lain ialah Indera Mahkota, Kota Marudu, Telok Intan, Segambut, Kuala Pilah, Kudat, Lipis, Sungai Besar, Sungai Petani, Bagan, Batu Kawan, Setiu, Kuala Langat, Subang, Sepang, Tenom, Tanjong, Selayang, Pengkalan Chepa, Serdang, Penampang, Beufort, Paya Besar, Kuala Selangor dan Bukit Mertajam.

Terdapat 191 bahagian UMNO di seluruh Malaysia kecuali Sarawak yang tidak mempunyai parti itu dan jika ditolak 147 ketua bahagian ini, bermakna ada 44 lagi bahagian belum menyatakan pendirian rasmi mereka.

Ini termasuk Pekan yang diketuai sendiri Najib selain Bagan Datoh oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Sembrong (Naib Presiden, Datuk Seri Hishammudin Hussein), Putrajaya (Setiausaha Agung, Tengku Adnan Tengku Mansor), serta Pagoh (Muhyiddin), Jerlun (Mukhriz) dan Semporna (Shafie Apdal).

Dalam masa yang sama, kesemua ketua UMNO bahagian itu turut bersetuju sekiranya kerajaan menamatkan serta merta tempoh perkhidmatan mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan.

Kata Mohd. Yusof, ia sebagai hukuman kepada mereka yang terang-terangan tidak menghormati perlembagaan serta cuba memperlekeh kedaulatan undang-undang negara.

Selain itu juga, mereka turut mendesak agar pihak kerajaan segara mengetatkan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dilihat mahu menggugat sistem pemerintahan negara.

“Kami desak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia bertindak tegas dan halang segala roadshow dan perhimpunan haram yang bakal dianjurkan khsusnya dari pihak pembangkang bagi menghasut pemikiran rakyat,” tambahnya.

Kesemua 147 Ketua UMNO Bahagian itu turut desak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi jalanan dirancang pembangkang pada 27 Mac ini. –Agensi