Media Indonesia Tuduh Baim Wong Bakal Nikah Fathia Latiff


MEDIA hiburan di Indonesia kini sedang hangat memainkan cerita mengenai aktor terkenal negara itu, Baim Wong yang dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan aktres Fathia Latiff.

Memetik laman Okezone, Baim sendiri dikatakan mengakui dia bakal diijabkabulkan dengan gadis pilihan hati pada tahun hadapan dan meminta peminat mendoakan hajatnya itu.

Menerusi artikel itu juga, media tersebut meletakkan gambar Baim, 34, dan Fathia, seolah-olah memberikan gambaran bahawa dialah gadis pilihan aktor tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan kami mendapati perkara ini dinafikan sendiri oleh Fathia menerusi pos terbaharunya di laman Instagram.


Bersama petikan gosip dan gambarnya bersama Baik Wong, Fathia menulis: “NOT TRUE. Next time tanya dulu please. Tak baik sebarkan fitnah. Moga Allah lindungi kita semua dari fitnah. Amin”.

Bagi yang mengikuti laman Instagram kedua-dua pelakon popular itu, pastinya anda sedia maklum bahawa mereka sebelum ini pernah terlibat dengan penggambaran drama yang dilakukan di kota New York, bulan lalu.

Justeru gambar yang dipaparkan adalah babak mereka dalam drama tersebut dan ternyata, Baim bukan lelaki yang bertakhta di hati Fathia, 29, selepas dia putus cinta dengan Aiman Hakim. –Kedahnews.com