Tan Sri Abu Zahar Ujang |
KUALA LUMPUR – Veteran Umno, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan suasana politik ketika ini berada dalam keadaan ‘menakutkan’ sehingga boleh menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam.
Menurut beliau, keadaan itu hanya boleh dipulihkan jika orang Melayu dan Islam kembali dengan semangat bersatu padu.
“Sungguh pun kita (orang Melayu Islam) majoriti dalam negara ini, tetapi apabila kita berpecah, kita akan jadi minoriti. Jadi apa nasib anak bangsa pada masa akan datang?
“Saya mendoakan kalau boleh semua pihak, kalau tersilap di pangkal jalan baliklah ke pangkal jalan, Tak kira siapa. Jangan kerana tak suka seekor nyamuk kita bakar kelambu, itu tak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, sebagai bangsa yang penuh adab dan kaya dengan sifat sopan santun, orang Melayu perlu saling memaafkan dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Saya berharap kita jangan terlalu banyak label melabel dan kutuk mengutuk. Kurangkan perbuatan ini.
“Kita sebagai manusia kena fikirkan masa depan anak bangsa, tak kira apa parti sekalipun. Saya kenal semua pemimpin, kalau boleh cuba kita fikir secara mendalam semangat untuk pertahankan nasib negara bangsa khususnya orang Melayu,” katanya.
Katanya, parti-parti politik juga perlu memberi keutamaan kepada nasib anak bangsa sebagai perjuangan dan bukan kepentingan diri atau untuk mengejar jawatan.
“Kita juga ada undang-undang yang mesti dihormati. Sama ada yang masih pegang jawatan atau yang dah lepas laluinya sebagai pemimpin negara.
“Saya harap sangat semua pihak munasabah diri untuk jamin masa depan negara,” katanya.
Sumber: Sinar Harian