Mengenang Airmata Yang Tumpah 3 Tahun Yang Lalu...


Masih lagi terbayang riak wajah kepiluan seorang isteri bersama dua anaknya melihat jenazah Allahyarham ASP Zulkifli Mamat di depan mata. Airmata bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi mengenang pemergian insan tersayang.

Semalam, genaplah 3 tahun pemergian wira Lahad Datu itu ke rahmatullah dan sejak itu Nor Aziah Nor yang kini berusia 31 tahun mengharungi hidup bersama 3 zuriat yang sempat ditinggalkan arwah suaminya.


Pegawai Komando 69 itu meninggal dunia setelah ditembak sewaktu mempertahankan negara daripada serangan pengganas Sulu dalam Op Daulat di Lahad Datu di Sabah dan ketika itu juga, Nor Aziah baru beberapa minggu hamil anak ketiga.

Setelah kira-kira 9 bulan pemergian suami, bayi seberat 3.25 kilogram lahir dan kini dianggarkan berusia 3 tahun.

Syahril A Kadir
Mengimbas kembali kenangan hiba itu, bekas wartawan terkenal, Syahril A Kadir di laman Facebook, meluahkan rasa sedihnya atas derita yang terpaksa ditanggung Nor Aziah bersama 3 anak yang masih kecil.

"Selama sembilan bulan berikutnya, Nor Aziah terpaksa berdikari menanggung kandungannya tanpa suami di sisi. Ketika dia melahirkan anaknya, beliau terpaksa menangis dan menanggung kesakitan tanpa kehadiran dan genggaman tangan lelaki yang dicintai sepenuh hatinya itu.

"Kesedihan yang ditanggung bukan sedikit, apatah lagi mengenangkan suaminya itu tidak sempat menatap wajah comel bayi mereka," tulisnya.

Syahril menjelaskan bahawa apabila seorang anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu bersumpah setia mendaulatkan negara, maka bermula saat itulah nyawa dan masa depan hidup mereka menjadi taruhan.

"Allahyarham Zulkifli tidak minta dibunuh, Nor Aziah tak minta menjadi balu dan anak mereka tidak mahu menjadi yatim ketika masih tidak tahu apa-apa.

"Namun mereka tahu, sekali bersumpah untuk membawa panji-panji dan menjadi keluarga Sang Saka Biru, nyawa dan tubuh adalah harga yang menjadi taruhan!," tulisnya lagi.


Walau bagaimanapun, Syahril turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir anggota pasukan keselamatan yang tidak beretika dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan berbanding prinsip perjuangan dan pengorbanan anggota lain yang bermandikan darah demi negara.

"Dan hari ini disebabkan ada anggota yang mengambil rasuah di tepi jalan, sebab ada pegawai yang mengambil wang perlindungan di kedai mesin video...kita seolah-olah meletakkan wajah hodoh segelintir daripada mereka untuk menafikan perjuangan dan pengorbanan pegawai, anggota polis lain yang bermandi darah serta airmata demi menjaga kedaulatan negara selama ini. Adilkah kita?," luahnya, melontar persoalan.


Turut disentuh adalah mengenai segelintir masyarakat yang 'buta' dan sering menuduh hina secara semberono terhadap institusi PDRM tanpa rasa bersalah.

"Di saat kita mencaci dan menghina PDRM, tidakkah ada sekelumit pun kita merasai penderitaan yang telah insan-insan ini pikul sejak sekian lama? Mungkin kita terlalu buta untuk membeza mana kaca, mana permata!," tulisnya.

Kedahnews.com mengambil kesempatan kepada semua pembaca untuk kita meluangkan seminit dua masa untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan mendoakan kesejahteraan hidup kepada Nor Aziah serta anak-anaknya yang kini yatim.


Semoga Allah SWT berikan ketabahan buat keluarga yang berkorban buat nusa dan bangsa ini, dan juga kepada semua pejuang-pejuang yang sebelum ini terkorban dalam mempertahan panji-panji Sang Saka Biru negara, Al-Fatihah. -Kedahnews.com