Menteri Mahu PBT, Telco Jalin Kerjasana Baik Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menjalin kerjasama baik dengan syarikat telekomunikasi (Telco) dalam menyediakan jaringan komunikasi yang mantap demi kepentingan dan kemudahan rakyat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerjasama tersebut penting bagi menjadikan sesuatu kawasan itu memenuhi kriteria dan kemahuan penduduk seiring dengan peredaran masa.

“Walaupun pemandangan di kawasan perumahan itu cantik dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur sekalipun, jika jaringan komunikasinya lemah, ia tidak berbaloi untuk didiami,” katanya ketika berucap pada perasmian Greater KL and Smart City Summit 2016, di sini Isnin.

Beliau yang sebelum ini pernah mengutarakan gesaan sama, menegaskan bahawa PBT perlu lebih terbuka dalam menerima hasrat Telco untuk membina menara pemancar khusus bagi meningkatkan kualiti akses jaringan komunikasi di seluruh kawasan.

Selain itu, Abdul Rahman juga menyeru PBT untuk lebih telus dan bersikap terbuka dalam urusan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Sebagai contoh, Abdul Rahman berkata rakyat ingin mengetahui perbelanjaan PBT ke atas cukai yang telah dibayar dan beliau menyarankan segala maklumat berkaitan diletakkan dalam laman sesawang yang boleh diakses dengan mudah.

“Langkah ini dapat mengurus jangkaan masyarakat yang ada kalanya membuat tuduhan kononnya PBT boros dan tidak tahu mengurus kewangan,” katanya.

Persidangan sehari anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia itu membincangkan mengenai perancangan menuju ke arah ‘bandar pintar’ antaranya pembangunan baharu dalam teknologi komunikasi dan maklumat, mobiliti, perancangan dan pembangunan urban.

Antara yang terlibat dalam persidangan itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Center for Sustainable Innovation, Red Tone International Berhad, Uber Malaysia, Mass Rapid Transit Corporating Sdn Bhd dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. – BERNAMA