Michelle Yeoh Dilantik Duta Muhibah Program UNDP


KUALA LUMPUR – Pelakon Bond, Michelle Yeoh telah dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan PBB (UNDP).

Aktres kelahiran Malaysia itu akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Lestari UNDP yang dilancarkan baru-baru ini.

“Saya mahu berada bersama mereka yang tercicir, sama ada kerana mereka dilahirkan miskin, dilahirkan sebagai wanita atau di kawasan yang dilanda malapetaka.

“Sebagai Duta Muhibah UNDP, saya mahu melakukan yang terbaik untuk membantu mereka melepasi halangan yang dihadapi dan dapat merasai kehidupan yang lebih baik, dalam sebuah dunia yang lebih selamat dan bumi yang lebih sihat,” menurut kenyataan UNDP yang memetik kata-kata Yeoh dalam sidang akhbar di ibu pejabat UNDP di New York pada 15 Mac.

Yeoh, yang pernah mengalami sendiri gempa bumi yang melanda Nepal pada April 2015 semasa beliau melawat negara itu, berhasrat untuk menggunakan pengaruhnya sebagai pelakon untuk menyokong dan membantu usaha pemulihan bencana di Nepal dan di tempat lain. – BERNAMA