Ahmad Razif bersama pimpinan Umno dan BN Terengganu ketika sidang media Deklarasi Taat yang diadakan selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dun Ke-13, di Wisma Darul Iman. |
KUALA TERENGGANU – Dua pemimpin Umno yang menyertai pembangkang dalam Majlis Deklarasi Rakyat sepatutnya duduk di luar parti sekiranya mereka ingin berjuang, menentang dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sebulat suara menyokong tindakan tegas dikenakan terhadap dua pemimpin itu termasuk sesiapa sahaja yang bersekongkol bersama pembangkang.
“Umno Terengganu merasa begitu terkilan dengan tindakan pemimpin itu, kalau mereka nak betul-betul perjuangkan, biar mereka keluar, jangan duduk atau masih berada dalam Umno. Itu baru boleh, baru kita boleh berlawan secara ‘gentlemen’.
“Tindakan tegas termasuk memecat mereka berdua sebenarnya adalah tindakan wajar sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini terhadap mana-mana ahli parti yang melanggar parti, bersekongkol dengan parti pembangkang,” katanya pada sidang media Deklarasi Taat selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dun Ke-13, di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.
Menurutnya, tindakan tegas yang diambil terhadap dua pemimpin Umno itu tidak akan menjejaskan sokongan terhadap parti malah rakyat boleh menilai sendiri perjuangan sebenar yang diperjuangkan dua pemimpin berkenaan.
“Tindakan tegas terhadap mereka tidak akan menjadi masalah kepada parti kerana secara tidak langsung rakyat boleh menilai siapa pemimpin ini, apa perjuangan mereka, kalau mereka betul-betul perjuangkan bangsa, agama dan negara, mereka tidak perlu bertindak sebegitu.
“Mereka sendiri sedia maklum, dan parti yang mereka bersekongkol sekarang juga sebelum ini dah mengeluarkan pelbagai cacian dan fitnah kepada mereka. Tetapi, kini mereka memilih untuk bersama dengan pihak yang pernah memfitnah, mencaci mereka,” katanya.
Ahmad Razif berkata, tindakan memecat pemimpin Umno yang menentang parti itu sama seperti tindakan yang diambil oleh parti lain terhadap pemimpin mereka yang dianggap mengkhianati parti.
“Kalau kita lihat apa yang berlaku pada parti pembangkang sendiri, sebelum ini, apa yang berlaku Pas sendiri apabila ada dalam pemimpin parti menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) serta kes wakil rakyat daripada Pulau Pinang apabila menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Sidang Dun, juga dikenakan tindakan.
“Pemimpin perlu punyai jiwa yang besar, kalau nak tentang Umno sendiri yang kononnya alasan sebagai ingin menentang Presiden, saya rasa lebih baik mereka duduk ‘di luar’ parti daripada berada di dalam kerana tidak ubah umpama gunting dalam lipatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kesetiaan dan kepatuhan kepada ketua adalah perkara pokok dalam perjuangan sebagaimana dilatih dalam solat bahawa kepatuhan kepada imam adalah suatu kewajipan yang tidak boleh tidak dalam apa keadaan sekalipun.
“Kita diajar jika sekiranya terdapat sebarang kekhilafan pada pendapat kita maka ada kaedah dan cara tertentu menegur dan membantu imam atau ketua dalam membuat sebarang pembetulan.
“Kita sepakat bahawa tiada parti lain yang lebih baik dan mampu membela dan mempertahankan orang Melayu serta menjamin masa depan orang Melayu dan bangsa-bangsa lain melainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan akan terus dipertahankan.
“Jadi, kita menyeru agar pihak yang tersilap langkah membelakangkan peraturan dan disiplin parti agar kembali memohon maaf dan memperbetulkan kesilapan atau terpaksa menerima hukuman akibat perbuatan dan pilihan sendiri.
“Dalam perjuangan musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan amat berbahaya dan perlu dibanteras,” katanya.
Sumber: Sinar Harian