Gambar Hiasan |
* Farina, Shah Alam.
UKE: Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan tetapi enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.
Atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati atau untuk membuat persiapan perkahwinan oleh pihak yang satu lagi. Itu boleh dituntut melalui tindakan di mahkamah.
Berdasarkan keterangan di atas, pertunangan itu sendiri dilindungi undang-undang. Maknanya bukan boleh main putus ikut suka hati sahaja melainkan jika ada sebab tertentu yang dibenarkan syarak atau pemutusan pertunangan atas persetujuan bersama.
Apatah lagi segala persiapan telah siap dilakukan yang mungkin melibatkan kos, maka jika senang-senang diputuskan pertunangan sudah pasti mendatangkan kerugian harta benda dan maruah keluarga.
Jika pihak yang tidak bersetuju dengan pembatalan pertunangan itu membawa kes tersebut ke mahkamah, jika sabit si pemutus boleh dikenakan hukuman seperti memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh satu pihak untuk membuat persediaan perkahwinan.
Sebab itu, jika hendak diputuskan pertunangan, buatlah dengan akhlak Islam. Jangan sakitkan hati orang dan pastikan ada alasan munasabah dan bukannya senang-senang saja putuskan pertunangan dengan alasan tak ada jodoh, sedangkan segala persiapan telah dijalankan.
Sumber: Utusan