Noor Suhada menunjukkan bumbung kelas Pasti yang diterbangkan angin sehingga menyebabkan murid terpaksa belajar di dalam pejabat buat sementara waktu. |
ALOR SETAR - “Murid hanya menjerit dan berpelukan apabila bumbung kelas ini diterbangkan angin. Risau berlaku apa-apa, saya terus buka pintu dan arahkan pelajar ke luar secepat mungkin,” demikian kata guru Pusat Tunas Islam (Pasti) Al Amin, Noor Suhada Samson di Hutan Kampung di sini, selepas bumbung kelas itu diterbangkan angin.
Sebelum kejadian jam 11.45 pagi Khamis lalu, murid sudah dapat dengar bunyi seperti zink diangkat angin.
Menurut Noor Suhada, lima minit kemudian terdengar dentuman dan tiba-tiba angin menerbangkan zink kelas dari bangunan tambahan itu.
“Kami nampak sendiri bumbung itu diterbangkan dan dibawa angin sejauh enam meter menghempap bumbung letak kereta jiran sebelah kawasan. Kami sangat takut tengok kekuatan angin itu yang boleh menerbangkan bumbung hingga ada murid yang menangis.
“Nasib baik masa tu pengajian dah tamat dan murid mula bersiap untuk pulang. Kami bersyukur kerana tak ada kayu atau kipas jatuh menghempap pelajar.
“Semua murid lari ke bangunan utama untuk dapat perlindungan dan ada dalam kalangan mereka gugup dengan kejadian pertama kali itu,” katanya.
Menurut Noor Suhada, bangunan kelas tambahan itu baharu saja dibuka untuk murid pada Mac lalu dan tidak menyangka angin kuat menerbangkan bumbung kelas itu.
Katanya, kejadian itu sangat menakutkan dan ada beberapa murid melaungkan takbir dan selepas itu baru angin beransur semakin lemah.
“Ketika itu, semua murid Pasti ditempatkan di pejabat sehinggalah waris mereka datang membawa pulang,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Pasti Hutan Kampung, Romli Md Noor berkata, pihaknya memerlukan bantuan RM10,000 bagi pembinaan semula bumbung dan pendawaian elektrik supaya murid dapat meneruskan pengajian mereka secepat mungkin di kelas itu.
Semalam, Adun Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim turut simpati dengan kejadian itu dan menghulurkan sumbangan.
Bagi mereka yang ingin menderma boleh salurkan ke Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun Guru Kanan, Serifah Abd Hamid 0210041000364016.