Negara Maju Singapura Larang Orang Bujang Tinggal Di Flat Sendirian


SINGAPURA – Sejak 2014, Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura (HDB) menerima sejumlah 235 permohonan untuk menukar rakan serumah ‘penyewa-bersama’ di bawah Skim Rumah Sewa Bujang Bersama.

Susulan itu, sepanjang tahun lalu, pihak HDB terpaksa menyediakan flat sewa 1-bilik baharu yang mempunyai dinding sekatan, demi mewujudkan ruang tidur peribadi antara penyewa bujang demi mengelak pergaduhan.

Sehingga kini terdapat 12,000 penyewa di bawah Skim Rumah Sewa Bujang Bersama malah atas sambutan hangat, HDB menerima 398 permohonan lagi bagi menyewa flat di bawah skim khas tersebut pada tahun lalu.

Ia hanya membentuk 18 peratus daripada 2,184 permohonan sewa dalam 2015, dedah Menteri Negara bagi Pembangunan Nasional, Dr. Koh Poh Koon ketika berucap dalam sesi sidang Parlimen pada 29 Februari.

Beliau berkata, apabila berlaku perselisihan faham antara penyewa, HDB akan menasihati kedua-dua ‘penyewa-bersama’ agar menyelesaikannya secara baik, atau meminta bantuan daripada badan-badan akar umbi tempatan.

Andai masih lagi gagal, kedua-dua penyewa akan perlu mencari rakan ‘penyewa-bersama’ baharu yang layak, dengan salah seorang daripada mereka terpaksa memohon untuk mendapatkan unit flat sewa di tempat lain.

Poh Koon menambah bahawa polisi pihak HDB setakat ini belum ada lagi rancangan untuk memberi kebenaran buat orang bujang daripada menyewa flat 1-bilik milik agensi pemerintah republik tersebut secara bersendirian.

Bagi individu bujang yang perlu tinggal bersendirian di flat 1-bilik atas sebab-sebab unik tertentu, contohnya faktor perubatan, HDB akan menilai permintaan mereka itu dengan berdasarkan kes, tambah beliau lagi.

Sementara itu, HDB turut menyediakan flat sewa 1-bilik yang mempunyai dinding sekatan demi mewujudkan ruang tidur peribadi antara dua penyewa bujang bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Poh Koon kemudian menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr. Intan Azura tentang rancangan HDB untuk memperkenalkan dan meluaskan tawaran sewa unit rumah pangsa 1-bilik berdinding sedemikian.

“Setakat ini kami sudah peruntuk 94 daripada 152 flat 1-bilik yang sudah siap di Sengkang, Sembawang dan Yishun dengan dinding sekatan. Lagi 17 flat dengan dinding sekatan dan tiga flat dengan ruang sedang dibina.”

Ujar beliau lagi, kumpulan pertama 15 flat terbaharu yang mempunyai ciri lebih peribadi itu pula bakal siap pada suku ketiga tahun depan di kawasan Tampines. – Agensi