Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. |
KUALA LUMPUR – “Media-media propembangkang mula dijangkiti `penyakit dan virus’ fitnah,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Kata beliau, `penyakit dan virus’ fitnah itu bertentangan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkan PAS.
“Keadaan ini amat malang untuk masa depan politik negara. Rakyat akan menjadi mangsa mudah pemain-pemain politik yang tidak berakhlak.
“Bertempur merebut kuasa dengan menjadikan rakyat sebagai bahan perjudian,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Nik Mohamad Abduh menyeru masyarakat bertenang, berhati-hati dan menapis setiap maklumat yang disebarkan kepada mereka.
Menurut beliau, itu adalah ajaran besar yang dianjurkan oleh Islam dan sesiapa yang mengamalkan agamanya akan selamat.
“Api fitnah jangan dilayan. Ia akan padam sendiri jika semua memalingkan diri daripadanya. Ia akan marak jika anda terus meniup dan menari di sekelilingnya.
“Jangan biarkan keyakinan kita disambar api fitnah yang diciptakan Allah S.W.T untuk hati-hati yang lemah dan gagal berfungsi,” tegas beliau lagi.
Media propembangkang waktu ini sedang menyerang hebat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai isu serta propaganda jahat.
Ia bertujuan meraih peluang untuk pimpinan pembangkang yang dikuasai DAP merampas kuasa kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang. – Kedahnews.com