OIC Khuatir Insiden Serangan Pengganas Kian Meningkat

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) amat khuatir dengan kesan berikutan peningkatan serangan pengganas ke atas negara anggotanya dan negara lain selepas insiden di Ankara, Turki pada Ahad.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani menyeru agar usaha bersepadu, koordinasi dan kolaborasi lanjut dilakukan di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mengurangkan punca keganasan bagi memastikan keamanan serta keselamatan dapat dikecapi oleh semua negara.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pertubuhan 57 anggota itu mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom kereta bunuh diri yang meletup di sebuah hab pengangkutan penuh sesak di ibu negara Turki itu.

Madani turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka yang cedera akan segera sembuh.

Sementara itu, agensi berita China, Xinhua, melaporkan pada Isnin bahawa jumlah kematian dalam insiden berkenaan meningkat kepada 37 orang, memetik Menteri Kesihatan Turki Mehmet Muezzinoglu.

Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka yang terbunuh ialah pengganas, kata Muezzinoglu, sambil menambah bahawa 19 daripada 71 mangsa yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal.

Menurut kenyataan itu, Madani juga berkata OIC menyokong usaha Turki memerangi keganasan dan yakin kerajaan Turki mampu “mengheret dalang di sebalik tragedi itu ke muka pengadilan.”

Beliau turut mengulangi pendirian OIC yang menolak semua bentuk keganasan, yang kini menjadi satu ancaman serius kepada kestabilan negara anggota selain menjejas usaha pembangunan mereka. – BERNAMA